Gunung Emas beri perspektif baru pada filem Malaysia
Muzaffar Mustapa
November 4, 2014 09:53 MYT
November 4, 2014 09:53 MYT
Filem terbaru arahan U-Wei Haji Saari, Gunung Emas - Almayer menerima reaksi positif selepas tayangan perdana filem itu di Jakarta.
Bermula sebagai Hanyut, judul filem itu ditukar ke Gunung Emas untuk tayangan di Indonesia.
Rata-rata penonton yang hadir ke tayangan filem itu memuji lakonan Sofia Jane, Adi Putra, Diana Danielle dan Rahayu Saraswati.
Keseimbangan lakonan ensemble para pelakon, garapan sinematik sutradara dan aspek teknikal melengkapkan kecemerlangan filem tersebut.
Menurut pengarah terkenal Indonesia Slamet Rahardjo, pengalaman menonton filem tersebut memberikan perspektif baru kepada industri perfileman Malaysia.
Dalam wawancara terdahulu, pengarah filem tersebut, U-Wei berkata tayangan filem itu di Indonesia bakal memberikan impak besar kepada industri perfileman tempatan.
Lebih 500 penonton hadir menyaksikan filem tersebut yang akan ditayangkan mulai 6 November ini di lebih 150 buah panggung di Indonesia.
Selain pengarah, tayangan filem itu dihadiri pelakon Sofia Jane, Adi Putra, Diana Danielle, Alex Komang, Rahayu Saraswati, Farid Kamil dan Wulan Guritno.
Gunung Emas diedarkan di Indonesia oleh Media Desa dengan kerjasama Tanah Licin Sdn. Bhd.
Filem itu dibintangi Peter O'Brien, Sofia Jane, Adi Putra, Diana Danielle, Alex Komang, Khalid Saleh, Bront Palarae dan ramai lagi
Filem berjudul Hanyut itu memulakan penggambaran sekitar tahun 2010 siap sepenuhnya 2012.
Menelan belanja lebih RM18 juta, filem itu beberapa kali dijadualkan ditayangkan di panggung tempatan namun ditangguhkan.
Ditulis berdasarkan novel pertama Joseph Conrad berjudul “Almayer’s Folly”, filem tersebut bercerita tentang Almayer, pedagang dari Belanda yang berjuang untuk hidup di Malaya pada akhir abad ke-19. Impiannya mencari mitos gunung emas ditentang isterinya, Mem, para penguasa dan politik pimpinan tempatan serta pedagang Arab dan digawatkan lagi dengan percintaan anak perempuannya dengan seorang putera Melayu yang menuntut kebebasan.