The Green Inferno: Amaran! Filem ini janjikan pengalaman seram dan ganas

Linawati Adnan
Oktober 1, 2015 12:14 MYT
The Green Inferno, arahan pembuat filem seram, Eli Roth. - Gambar Fail
Saya merupakan antara peminat filem genre seram ganas seperti filem-filem Wes Craven, Tobe Hooper dan William Friedkin.
Eli Roth sudah tentunya antara nama yang saya gemari pada masa kini kerana filem arahannya seperti Cabin Fever, Hostel 1 dan Hostel 2.
The Inferno Green, filem terbaru Roth, sudah pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat filem bergenre ini.
Namun, penantian saya selama ini hanya sia-sia, kerana penapisan berat untuk filem menjadikan setiap aksi ganas yang ditonjolkan tidak membantu tontonan. Jadi, ulasan saya pada kali ini tidaklah begitu menyeluruh.
Pengarah Eli Roth memberi penghormatan kepada filem Itali berkisar eksploitasi kanibalisme dalam filem seram tahun 1980-an arahan Ruggero Deodato berjudul Cannibal Holocaust.
Lokasi filem ini mengambil tempat di sekitar Chile dan Peru yang merupakan lokasi yang sama dengan Cannibal Holocaust.
Apa yang berbeza ialah filem Roth kali ini banyak menampakkan keindahan keindahan lanskap alam semulajadi yang diselang-selangkan dengan unsur-unsur ganas penuh berdarah.
Filem ini menceritakan nasib malang sekumpulan aktivis yang terdiri daripada pelajar kolej yang sangat bercita-cita tinggi untuk menyelamatkan dunia dengan menggunakan kuasa yang ada pada peralatan moden seperti telefon pintar,gajet serta media sosial.
Rancangan mereka adalah untuk memerangkap pembalak dan pemaju 'menakluki' hutan yang subur di Amazon secara semborono bertujuan untuk menyelamatkan penduduk asal daripada hilang tempat tinggal.
Pada masa yang sama, aktiviti-aktiviti pembalak dan pemaju ini mahu mereka dedahkan kepada dunia dengan harapan bahawa ia akan menghentikan kerosakan yang lebih teruk akibat penebangan hutan.
Tetapi apa yang mereka tidak tahu adalah terdapatnya bahaya yang lebih besar menanti mereka di dunia yang tidak mereka ketahui.
Beribu-ribu batu dari rumah, sejenis mahkluk yang memakan daging manusia dan menghirup darah manusia mula membuat kemunculan.
Seperti biasa, filem-filem Roth ini tidak lari dari sindiran atau ‘black comedy’. Kali ini, watak-watak dan stereotaip mereka dalam filem genre ini adalah sangat menyerlah.
Sebagai contoh, isteri Roth, Lorenza Izzo memainkan watak gadis idealis jelita juga dara yang dipanggil Justine, yang bapanya adalah orang yang utama di PBB.
Kemudian, ketua kumpulan aktivis bernama Alejandro yang diragui,dimainkan oleh Ariel Levy. Terdapat juga Mr. Nice Guy, yang dimainkan oleh Aaron Burns sebagai Jonah. Dan wajib ada dalam filem seperti ini ialah watak kelakar, penghisap marijuana, lakonan Daryl Sabara sebagai Lars.
Peminat filem ‘gore’ pastinya akan terhibur dengan filem ini. Walaupun banyak aksi-aksi ganas yang telah ditapis, namun plotnya masih stabil dengan mesej-mesej tersirat, senario zaman moden ini.
Filem mini juga tepat pada masanya, memandangkan masyrakat kini sangat bergantung kepada alat peranti dan telefon pintar. Jika filem ini tidak ditapis (secara berat), kemungkinan elemen-elemen seram yang terkandung dalam filem ini lebih menonjol.
Pelakon: Lorenzo Izzo, Ariel Levy, Daryl Sabara, Aaron Burns
Diarahkan oleh: Eli Roth
Ditulis oleh: Eli Roth, Guillermo Amoedo, Nicolás López
Tarikh keluaran: 24 September, GSC Movies
Tonton treler The Green Inferno di sini:
#Eli Roth #GSC Movies #The Green Inferno
;