Grammy pilih Lady Gaga buat persembahan kenang David Bowie
Nizam Bakeri
Februari 3, 2016 16:30 MYT
Februari 3, 2016 16:30 MYT
Lady Gaga bakal mengadakan persembahan bagi menghormati mendiang David Bowie dalam satu segmen khas pada Grammy Awards, lapor The New Tork Times.
Penganjur Grammy Awards mengesahkan perkara tersebut dalam satu pengumuman rasmi Selasa lalu.
Selepas kematian Bowie bulan lalu, industri muzik mula berteka-teki tentang bentuk penghormatan yang bakal diberikan kepada salah seorang ikon muzik paling berpengaruh di dunia itu.
Penerbit Grammy Awards, Ken Ehrlich dalam satu temuramah menyatakan Gaga sudah pun bersetuju untuk membuat persembahan sebelum kematian Bowie.
Selepas berita kehilangan Bowie diterima, Ehrlich menerima panggilan daripada beberapa artis yang berminat untuk membuat persembahan mengenang Bowie namun dia lebih tertarik dengan idea persembahan solo oleh Gaga.
Anugerah yang bakal berlangsung pada 15 Februari ini juga menampilkan persembahan dari Adele, Kendrick Lamar, dan Carrie Underwood.