Giuliana Rancic ucap selamat tinggal kepada E! News
Syafique Shuib
Ogos 12, 2015 09:22 MYT
Ogos 12, 2015 09:22 MYT
PENGACARA televisyen terkenal Giuliana Rancic membuat kemunculan terakhirnya dalam E! News (terbitan saluran E! Entertainment – Astro 712) yang disiarkan di Amerika Syarikat pada malam Isnin.
“Saya bertuah dapat bekerja dengan rakan setugas yang begitu berbakat dan baik hati dalam dunia hiburan ini.
“Hari ini seolah hari tamat pengajian saya dan saya tidak sabar untuk fasa baharu dalam hidup saya,” kata Giuliana dalam episod akhir berkenaan kepada hos dan warga kerja E! News.
Menurut majalah People, setelah 14 tahun mengendalikan program hiburan itu, Rancic akan berpindah dari Los Angeles ke Chicago bersama keluarganya.
Rancic membuat kenyataan ingin meninggalkan program berkenaan pada bulan Julai di mana beliau dilapor mahu memfokus kepada projek televisyen bersama saluran Oxygen dan juga kepada perniagaan restoran miliknya bersama suami Bill Rancic serta label fesyen miliknya.
Walaupun tidak lagi bersama E! News secara tetap, namun Rancic akan terus mengacarakan acara karpet merah bersama saluran itu dan juga rancangan Fashion Police.
Pada Februari, Rancic berhadapan dengan kontroversi dalam program Fashion Police mengenai imej pelakon Zendaya di mana kenyataan dibuatnya disifatkan sebagai berbaur perkauman.
Susulan kontroversi itu, hos yang lain iaitu Kelly Osbourne dan Kathy Griffin bertindak untuk meninggalkan program fesyen tersebut.
Acara itu dihentikan untuk seketika dan kembali bersiaran pada September ini di mana Rancic akan muncul semula sebagai hos.