Gitaris legenda Jeff Beck meninggal dunia
Astro Awani
Januari 11, 2023 07:00 MYT
Januari 11, 2023 07:00 MYT
PEMAIN gitar rock tersohor Jeff Beck meninggal dunia Rabu pada usia 78 tahun.
Menurut kenyataan keluarga yang disiarkan di akaun media sosial rasminya, pemain gitar yang dianggap terhebat sepanjang zaman itu meninggal dunia akibat jangkitan bakteria meningitis.
“Bagi pihak keluarga, dengan rasa penuh rasa dukacita yang mendalam, kami berkongsi berita pemergian Jeff Beck.
“Mendiang meninggal dunia dengan aman semalam selepas dijangkiti bakteria meningitis.
"Pihak keluarga memohon agar diberikan ruang privasi ketika mereka menerima perkhabaran duka ini," tulis kenyataan itu,
Wakil pemuzik legenda itu, Melissa Dragich, mengesahkan berita duka itu kepada CNN melalui e-mel.
Beck terkenal pada era 60-an selepas menggantikan artis ternama Eric Clapton dalam kugiran Yardbirds.
Dia meninggalkan Yardbirds setahun kemudian untuk menubuhkan kumpulannya sendiri The Jeff Beck Group yang menampilkan Rod Stewart dan Ron Wood.
Beck dimasyhurkan dalam "Rock and Roll Hall of Fame" pada tahun 1992 sebagai anggota Yardbirds dan sekali lagi pada tahun 2009 sebagai artis solo.
Beck memperoleh Grammy pertamanya pada tahun 1985 menerusi persembahan instrumental rock terbaik untuk "Escape."
Dia menang lima kali lagi anugerah Grammy dalam kategori tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak lapan kali sepanjang kerjayanya.