Gipsy Kings bakal beraksi di Rainforest World Music Festival 2023

Astro Awani
April 5, 2023 19:49 MYT
RWMF anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) akan kembali secara fizikal dari 23 hingga 25 Jun di Kampung Budaya Sarawak di Kuching. - Gambar ihsan RWMF.
KUALA LUMPUR: Penampilan pemenang Anugerah Grammy, Gipsy Kings yang turut membawakan Tonino Baliardo dari Perancis dengan lagu hits seperti 'Djobi Djoba' dan 'Bamboleo ' akan memikat penonton di Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023.
RWMF anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) akan kembali secara fizikal dari 23 hingga 25 Jun di Kampung Budaya Sarawak di Kuching.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata festival itu akan menampilkan barisan 199 pemuzik dari 12 negara, merentasi 4 benua untuk mempersembahkan pelbagai genre muzik.
"Walaupun penghibur antarabangsa sudah pasti antara acara kemuncak, kita harus mengiktiraf penghibur tempatan yang luar biasa dan kumpulan pemuzik yang telah berkembang maju hasil daripada RWMF selama ini.
"Mereka bukti kuasa transformatif muzik dan budaya dalam mencipta impak positif kepada komuniti kita," katanya ketika pelancaran RWMF ke-26.
Pemuzik tempatan yang akan membuat persembahan di RWMF2023 antaranya Zee Avi, Suk Binie, APU, Nadir, Steve Thornton Band, Sada Borneo, Tuku Kame, Nading Rhapsody, Geng Wak Long, Buloh Berkocak, At Adau, Meruked dan Orang Orang Drum.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh Askor menjelaskan RWMF ke-26 mensasarkan lebih 20,000 pengunjung.
“Merenungkan kembali perjalanan peristiwa 26 tahun lalu, saya gembira kerana STB telah melaksanakan tugas tersebut dan berbangga untuk menyaksikan dan menjadi sebahagian daripada pertumbuhan RWMF – daripada permulaannya yang sederhana, hingga menjadi diiktiraf sebagai festival muzik bertaraf antarabangsa.
"Kami tidak sabar-sabar untuk melihat 25 tahun akan datang sambil bergerak ke arah menjadikan RWMF sebagai platform Wilayah Sarawak mendorong kemampanan dan ekopelancongan untuk generasi pencinta muzik akan datang,” katanya.
Beliau berkata, semua peminat muzik tempatan dan antarabangsa dijemput untuk merasai pengalaman holistik dan emosi keseluruhan festival, yang menjanjikan keharmonian, kepelbagaian dan budaya, yang dihubungkan dengan muzik dan tarian.
"Pengunjung akan mengalami pelbagai emosi yang luhur dan paling tulen - ungkapan yang tidak dapat dilupakan, menyeronokkan, pelbagai suku etnik, budaya dan keunikan Sarawak," katanya lagi.
Jualan tiket akan dibuka pada 15 April dan untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman web rasmi festival di rwmf.net.
#Rainforest World Music Festival #Gipsy Kings #Sarawak #Tonino Baliardo
;