Gimik penyanyi Danupha cetus usaha masukkan pulut mangga dalam senarai UNESCO
Bernama
April 18, 2022 06:00 MYT
April 18, 2022 06:00 MYT
BANGKOK: Gimik penyanyi rap remaja Thailand, Danupha Kanateerakul yang menikmati pulut mangga ketika mengadakan persembahan di festival muzik Coachella, di Amerika Syarikat pada hujung minggu lalu, mencetuskan fenomena baharu terhadap hidangan popular Thailand itu.
Aksi Danupha telah mencetuskan minat orang ramai dan Jabatan Promosi Kebudayaan Thailand merasakan wajar untuk mempertimbangkan permohonan menyenaraikan juadah pencuci mulut itu sebagai warisan budaya tidak ketara UNESCO.
Ketua Pengarah Jabatan Promosi Kebudayaan, Chai Nakornchai dalam satu kenyataan berkata jabatannya sedang mengumpul maklumat yang perlu untuk mengemukakan permohonan.
Danupha, 19, atau lebih dikenali sebagai Milli, mencuri perhatian dunia apabila menamatkan persembahan di Festival Muzik dan Seni Coachella Valley di Indio, California dengan memakan pulut mangga ketika di atas pentas.
Persembahan beliau juga menjadi trending di Twitter pada Ahad dan sejak itu jualan pulut mangga meningkat mendadak.
Danupha, pernah menjadi tumpuan media pada Julai tahun lepas apabila Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha memfailkan saman fitnah terhadapnya selepas penyanyi itu mengecam tindakan Prayuth dalam menguruskan pandemik COVID-19 yang didakwanya kurang berkesan.
Dia mengaku terhadap pertuduhan itu dan dikenakan denda sebanyak 2,000 baht.
-- BERNAMA