Giliran Lin Ariffin jadi mangsa buli siber, terima panggilan lucah
Gempak
April 25, 2018 21:38 MYT
April 25, 2018 21:38 MYT
PENYAMPAI radio Zayan, Lin Ariffin menjadi mangsa terbaru netizen di media sosial apabila sering diganggu individu tidak dikenali.
Jelasnya, dia menerima panggilan telefon daripada individu yang sama berulang kali ketika bertugas dari jam 10 pagi sehingga 3 petang.
Bagaimanapun, tanggapannya terhadap individu tersebut pada mulanya hanya sebagai antara pendengar yang meminati program kendaliannya, #ZOTD.
"Apabila dia kerap ‘call’ ke konti dan bercakap sehingga melibatkan perkara lucah, saya mula rasa tak selesa dan cepat meletakkan telefon," katanya kepada Astro Gempak.
Lin menyatakan dia mula mengesyaki sesuatu daripada perbualannya dengan individu tersebut tetapi bernasib baik kerana ia bukan disiarkan ke udara.
"Mungkin penggunaan media sosial memudahkan akses sesiapa saja untuk tengok dan kemudian menyalahgunakannya sebagai tempat melampiaskan nafsu," katanya.
Jelasnya, dia menganggap tindakannya sering memuat naik gambarnya di Instagram (IG) akaunnya hanya bertujuan berkongsi 'tips' berfesyen.
"Saya juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak mendedahkan lokasi gambar yang dimuat naik," katanya.
Lin yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata mengakui ini adalah pengalaman pertama kalinya berdepan situasi sedemikian yang disifatkan sebagai buli siber.