"Giliran cari akhirat pula, dunia sudah puas dikejar" - Syahrini bicara soal hijrah

Astro Awani
Jun 27, 2021 18:39 MYT
Perubahan personaliti Syahrini disambut dengan penuh kesyukuran oleh peminat-peminatnya. - Gambar Instagram SYAHRINI
PADA bulan Ramadan lalu, artis popular Indonesia, Syahrini sudah mula mengenakan hijab.
Perubahan imej Syahrini menarik perhatian peminat-peminat setianya selain seluruh rakyat negara jiran itu.
Dan selang dua bulan bertudung, nyata, Syahrini benar-benar istiqamah dan ketika ini, selebriti itu amat bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi individu yang lebih baik berbanding kehidupan sebelum ini.
Kata Syahrini atau nama sebenarnya, Rini Fatimah Zaelani, hasrat yang didambakannya kini ialah mengejar ilmu akhirat pula selepas puas mengecap kebahagiaan dunia.
“Dari awal bernikah sehingga ke hari ini, saya memang mahu memberi tumpuan pada jalanNya. Ini adalah kerana tidak ada nilainya ibadah seseorang itu jika berterusan dengan keadaan dunia hari ini.
“Apa sahaja yang ada pada kita hari ini dengah mudah boleh saja diambil oleh Allah pada bila-bila masa sekiranya kita tidak bertakwa dan mengiringi (kehidupan) dengan ibadah,” kata Syahrini seperti dilapor media tempatan.
Tegas Syahrini, 39, niatnya untuk memperbaiki setiap ibadahnya dan bersama suaminya, Reino Barack, selain mengharapkan Allah sentiasa menghadirkan redha buat mereka berdua.
“Sekarang, aku benar-benar ingin mencari akhirat. Allah sudah berikan aku dunia, tapi kalau aku berterusan mengejar dunia, bimbang tiada apa yang mahu dikejar untuk akhirat kelak,” ujarnya lagu.
Penyanyi yang masyhur dengan lagu Pelantun Sesuatu itu mengakui, untuk melalui fasa penghijrahan bukan satu perkara yang mudah.
Namun, dia bersyukur kerana suaminya begitu teguh memberi sokongan.
"Kerana hijrah itu sendiri berat. Tapi, kalau hijrah berdua bersama suami seperti kami sekarang, suami saya
sangat tekun. Kami sama-sama belajar dan pada saya tidak ada harta yang lebih besar Allah berikan selain daripada hijrah itu,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Syahrini sangat sinonim dengan kegemarannya menjalani gaya hidup mewah.
Atas kapasitinya sebagai artis masyhur, Syahrini sering tampil dengan pakaian dan aksesori mewah serta kerap berkongsi foto percutian ke luar negara termasuk menaiki pesawat persendirian.
#Syahrini #Indonesia #penyanyi #selebriti #Reino Barack #Rini Fatimah Zaelani #berhijab #Syahrini berhijab
;