GFRIENDinMY: Yuju suka makan dodol?
Isabelle Leong
Jun 29, 2019 12:44 MYT
Jun 29, 2019 12:44 MYT
Siapa sangka anggota kumpulan K-Pop Korea Selatan GFRIEND suka makan dodol, terutamanya penyanyi vokal, Yuju.
Dalam satu temu bual eksklusif, Astro AWANI memperkenalkan makanan tradisional tersebut kepada kumpulan tersebut dan Yuju yang mencuba buat pertama kali tertarik dengan keenakan makanan tersebut.
“Ia sangat comel dan ‘sticky’. Rupanya seperti puding coklat.
“Ia sangat sedap dan memang menepati cita rasa saya,” kata Yuju sambil menjamah dodol dengan gembira pada temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.
Beliau juga berkata dodol menyerupai ‘rice cake’ dan dapat merasai kandungan santan dalamnya.
“Selepas ini, dodol akan menjadi antara salah satu pencuci mulut kegemaran saya,” tambahnya.
Anggota-anggota lain juga mengaku teruja untuk menikmati makanan tradisional Malaysia yang lain seperti nasi lemak kerana juga menggemari makanan pedas.
Mereka juga mendedahkan rasa gembira dan tidak sabar untuk berjumpa dengan peminat mereka di Malaysia.
“Apabila kami memuat naik video di laman internet, kami menerima banyak komen daripada Buddy (nama fandom GFRIEND) supaya datang ke Malaysia.
“Oleh itu, kami gembira dapat datang ke Malaysia dan mengadakan konsert di sini.
“Kami sungguh teruja untuk membuat persembahan di konsert dan berjumpa dengan Buddies,” ujar Yuju.
Selain Yuju, GFRIEND turut dianggotai Sowon, Yerin, Eunha, SinB dan Umji.
Sextet tersebut bakal menggegarkan pentas Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu ini bermula jam 6 petang.
Konsert sulung GFRIEND di Malaysia dibawakan khas oleh penganjur konsert, MacpiePro.
Adakah Buddies sudah bersedia untuk konsert yang paling anda nanti-nantikan?