Gen Z boleh menjadi 'sangat menjengkelkan' - Jodie Foster
Agensi
Januari 7, 2024 08:00 MYT
Januari 7, 2024 08:00 MYT
PELAKON ternama Hollywood, Jodie Foster menggambarkan Generasi Z (gen Z) sebagai ‘sangat menjengkelkan’ terutamanya ketika bekerjasama di lokasi penggambaran.
Dalam temu bual dengan Guardian, aktres yang juga pemenang Oscar itu berpendapat, ada ketikanya, beliau sukar memahami sikap golongan itu terhadap tugas yang dilakukan mereka.
“Mereka (Gen Z) boleh sahaja merasakan tidak mempunyai keinginan untuk bekerja hari ini atau dengan sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk ke tempat kerja pada pukul 10.30 pagi,” tegas Foster menggambarkan sikap acuh tidak acuh Gen Z terhadap kehidupan mereka.
Namun begitu, dia memuji sikap bintang Gen Z, Bella Ramsey dengan menggelar anak muda berusia 20 tahun itu sebagai contoh pelakon yang muncul dalam "vektor keaslian" baharu.
Sehubungan itu, Foster yang memulakan kerjaya lakonannya sejak usia kanak-kanak berkata, dia merasa terdorong untuk membantu pelakon muda mencari laluan mereka "kerana apa yang pernah dilaluinya suatu masa dahulu sesuatu yang sulit."
Menyambung perbualan mengenai Gen Z iaitu istilah yang biasanya digunakan untuk menggambarkan mereka yang lahir pada akhir 1990-an dan awal 2000-an - Foster, 61, bergurau: "Mereka benar-benar menjengkelkan - terutamanya di tempat kerja.
"Atau seperti dalam e-mel, saya akan memberitahu mereka ini semua tidak betul dari segi tatabahasa, adakah anda tidak menyemak ejaan anda?
"Dan mereka membalasnya, 'mengapa perlu saya melakukan semua itu, bukankah apa yang saya lakukan telah mengurangkan banyak masa?"
Bercakap mengenai nasihat yang akan diberikan beliau kepada golongan muda dalam industri, Foster berkata: "Mereka perlu belajar bagaimana untuk bertenang, bagaimana untuk tidak terlalu memikirkannya, bagaimana untuk menghasilkan sesuatu yang menjadi milik mereka.
"Saya boleh membantu mereka mencari itu yang mana ia jauh lebih menyeronokkan.” - Agensi