Gempa bumi Cianjur: Hetty Koes Endang kongsi rasa dukacita, iringi doa buat mangsa

Astro Awani
November 23, 2022 20:25 MYT
Hetty Koes Endang, menzahirkan rasa simpati dan dukacita atas tragedi gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat, pada Isnin.
KUALA LUMPUR: Seniwati tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang, menzahirkan rasa simpati dan dukacita atas tragedi gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat, pada Isnin.
Berikutan beliau kini berada di Kuala Lumpur kerana terikat dengan tugas, Hetty yang mesra disapa Bunda berkata, doanya mengiringi kesemua mangsa dalam bencana alam itu.
Juri tetap program hiburan popular, Gegar Vaganza terbitan Astro itu berdoa, semoga kesemua mangsa tragedi di negara kelahirannya itu diberi ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi musibah itu.
"Bunda turut berdukacita sedalam-dalamnya untuk warga Cianjur dan sekitarnya atas musibah gempa yang menimpa.
"Semoga selalu diberi ketabahan kekuatan dan perlindungan oleh Allah SWT," kata Hetty menerusi video yang dimuat naik di akaun Instagram peribadinya, hari ini.
Gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter itu dikesan di Cianjur, Jawa Barat pada Isnin lalu mengorbankan 268 orang.
Lebih 56,362 orang ditempatkan di pusat pemindahan selepas 21,282 rumah rosak termasuk kira-kira 6,570 yang runtuh.
#juri Gegar Vaganza #Hetty Koes Endang #gempa bumi #Gempa bumi Cianjur
;