Gelaran Raja Pop hanya milik Michael Jackson, tiada yang lain - Anak saudara
Agensi
Ogos 24, 2022 19:20 MYT
Ogos 24, 2022 19:20 MYT
ANAK saudara mendiang Michael Jackson, Taj, kurang senang apabila penyanyi Harry Styles kini digelar 'Raja Pop baharu' oleh majalah Rolling Stone UK.
Keluarga dan penjaga hak bintang ternama dunia itu telah meletakkan tanda dagangan bagi frasa 'King Of Pop' atau Raja Pop yang dilabel kepada Michael semasa hayatnya dan selepas kematiannya.
"Tiada Raja Pop baharu. Gelaran itu bukan milik anda Rolling Stone, anda tidak memperolehnya.
"Bapa saudara saya memperolehnya atas usaha berpuluh tahun, dedikasi dan pengorbanan. Gelaran itu tidak boleh digunakan lagi," kata Taj menerusi ciapan di Twitter.
Taj, 49, merupakan anak Tito Jackson yang juga adik Michael.
Dalam ciapan yang sama, Taj memaklumkan, dia tetap menghormati bakat Styles yang merupakan bekas anggota kumpulan One Direction itu.
"Saya menghormati Harry Styles, dia berbakat besar. Berilah dia gelaran lain yang tersendiri," tulisnya.
Keluarga Michael sangat melindungi frasa 'King of Pop' malah pernah menyaman sebuah syarikat popcorn kecil kerana menggunakan 'KingOfPop.com' sebagai alamat laman web mereka.
Mereka yang cuba membuka URL KingOfPop.com akan dibawa ke laman web rasmi Michael Jackson.