Gegar Vaganza : Nabil Ahmad tak muncul pada konsert pertama GV7
Asyraf Roslan
Oktober 11, 2020 21:37 MYT
Oktober 11, 2020 21:37 MYT
Konsert permulaan GV yang sudah masuk musim ketujuh (GV7) malam ini, dikendalikan oleh Jihan Muse dan Datuk AC Mizal.
PUTRAJAYA: Hos Gegar Vaganza (GV), Nabil Ahmad tidak muncul pada konsert pertama program realiti musim ketujuh itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini.
Sudah tentu ketiadaannya yang selama ini menjadi antara daya penarik program itu, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penonton di PICC serta siaran langsung di rumah.
Bagaimanapun, semakan dengan pihak produksi mendapati Nabil dipercayai tidak dapat menghadirkan diri kerana kurang sihat.
Justeru, konsert permulaan GV yang sudah masuk musim ketujuh (GV7) malam ini, dikendalikan oleh Jihan Muse dan Datuk AC Mizal yang bertindak sebagai penganti Nabil bagi minggu pertama.
Malam ini, penonton akan menyaksikan 14 peserta menyanyikan lagu-lagu mereka yang pernah menjadi siulan ramai pada satu ketika dahulu dengan tema "Grand Konsert".
Dalam pada itu, ramai peminat juga mendoakan kesejahteraan Nabil di laman sosial media.
Baru-baru ini, Nabil telah melakukan ujian swab kerana pernah mempunyai sejarah kunjungan ke sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya yang mempunyai kes COVID-19.
Bagaimanapun keputusan ujian tersebut negatif dan ia diumumkan oleh Nabil sendiri melalui laman Instagram miliknya.