Gegar Vaganza gegarkan Istana Budaya pada 15-17 Jan

Bernama
Januari 8, 2016 08:42 MYT
Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, berkata konsert yang berdurasi dua jam 30 minit itu akan menampilkan 13 penyanyi.
Istana Budaya bakal menyaksikan penyatuan bintang Gegar Vaganza 1 dan 2 menerusi 'Konsert Mega Gegar Vaganza' yang akan diadakan selama tiga malam berturut-turut mulai 15 hingga 17 Jan ini.
Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, berkata konsert yang berdurasi dua jam 30 minit itu akan menampilkan 13 penyanyi yang mendendangkan kira-kira 20 buah lagu setiap malam.
"Persembahan pada ketiga-tiga malam itu akan diiringi oleh 63 pemuzik profesional dan penyanyi latar di bawah iringan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) pimpinan Konduktor Mohd Yazid Zakaria.
"Konsert ini juga sebagai tanda penghargaan dan terima kasih Astro kepada penonton yang tanpa jemu memberi sokongan padu terhadap program Gegar Vaganza sehingga berjaya mencatat jumlah tontonan tertinggi dalam sejarah penyiaran Astro," katanya pada sidang media Konsert Mega Gegar Vaganza di sini, pada Khamis.
Antara penyanyi yang bakal membuat persembahan ialah Siti Nordiana, Farahdhiya, Ezad Lazim, Nassier Wahab, Haleeda dan Achong.
Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani pula berkata pihaknya mengundang produksi Gegar Vaganza ke pentas Istana Budaya kerana tertarik dengan konsep program berkenaan yang mengangkat penyanyi-penyanyi lama.
"Istana Budaya sentiasa memberi peluang dan mengalu-alukan konsert seumpama ini yang diyakini mampu memberi impak yang besar kepada Istana Budaya," katanya.
Tiket konsert itu akan dijual mulai hari ini menerusi www.ticketcharge.com dan kaunter-kaunter TicketCharge dengan harga dari RM89 hingga RM 899.
#Astro Ria #Gegar Vaganza #Istana Budaya #Raqim Ahmad
;