Gegar Vaganza: Berjalan seperti biasa tanpa penonton

Asyraf Roslan
Oktober 14, 2020 10:58 MYT
14 peserta masih kekal ke minggu seterusnya dan akan bersaing bagi merebut gelaran juara Gegar Vaganza musim ke-7. - Foto Astro
KUALA LUMPUR: Seperti semua sedia maklum, bermula 14 Oktober, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 27 Oktober 2020.
Sudah tentu dalam tempoh ini banyak perkara yang harus dipatuhi bagi sama-sama mengurangkan penyebaran wabak COVID-19 di Malaysia.
Perlaksanaan PKPB ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada penganjuran majlis-majlis sosial termasuk program Gegar Vaganza (GV) yang baru sahaja membuka tirai pada 11 Oktober lalu.
Namun, pihak Astro membuat keputusan untuk tetap meneruskan pertandingan nyanyian yang kini memasuki musim ketujuh, mengikut rancangan asal.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, meskipun ia diteruskan, konsert yang berlangsung di Pusat Kovensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu tidak akan dihadiri penonton.
"Astro tetap menjalankan konsert GV seperti yang dijadualkan namun tidak akan ada kehadiran penonton pada minggu tersebut, melainkan hanya krew produksi dan tenaga kerja yang berdaftar sahaja," katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Emarina juga menyatakan, sebarang perubahan mengenai penganjuran untuk konsert minggu keempat dan seterusnya akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Ia akan tertakluk kepada perkembangan situasi semasa wabak COVID-19 serta kelonggaran yang diberikan pihak berkuasa.
Pihak Astro juga menyeru kepada orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana tangggungjawab, disiplin serta pematuhan masyarakat amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.
GV7 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse bersiaran selama 10 minggu di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD setiap Ahad, jam 9 malam.
#Gegar Vaganza #GV7 #PKPB #COVID-19 #SOP #Astro #Putrajaya #Pusat Kovensyen Antarabangsa Putrajaya #PICC
;