Gegar Vaganza 5: Biar hilang suara, namun Zamani tetap 'legend'

Madiha Abdullah
Oktober 28, 2018 22:22 MYT
Zamani turut dibantu Nabil dan Jihan yang menemaninya di atas pentas. -Astro Gempak
Biarpun mengetahui keadaan kesihatannya benar-benar tidak mengizinkan, Zamani tetap memberanikan diri naik ke pentas untuk membuat persembahan pada konsert kelima Gegar Vaganza 5.
Zamani yang sepatutnya menyampaikan lagu "Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta" dendangan asal Flybaits, tidak dapat meneruskan nyanyiannya ketika berada di pentas.
Namun di kala penonton tergamam melihat situasi yang janggal itu, Zamani dibantu penonton yang sama-sama menyanyikan lagu itu selain juri Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk AC Mizal.
Malah hos rancangan, Nabil Ahmad dan Jihan Muse turut menemani Zamani di atas pentas.
"Zamani sebenarnya tidak sihat. Dari semalam dia hilang suara," kata Jihan.
Dalam komen mereka, Khatijah dan AC memuji keberanian Zamani dan menyifatkan penyanyi itu seorang legenda yang mampu menghiburkan biarpun tidak mengeluarkan suara.
Datuk Ramli MS pula cuba membantu apabila meminta band mengolah susunan muzik, namun Zamani hanya mampu menyampaikan baris pertama lagu itu.
#Datuk AC Mizal #Datuk Khadijah Ibrahim #Gegar Vaganza 5 #Jihan Muse #Lagu #Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta #Nabil Ahmad #penyanyi #Zamani
;