Gegar Vaganza 2: Vida tak menyesal guna kuasa imuniti pada Acong
Gempak
Disember 1, 2015 08:42 MYT
Disember 1, 2015 08:42 MYT
PENAJA utama Gegar Vaganza 2 (GV2), Datuk Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida telah menggunakan kuasa imunitinya untuk kembalikan Acong ke konsert separuh akhir pada minggu hadapan.
Pengasas produk kecantikan Vida Beauty itu berkata dia tidak menyesal memilih Acong kerana potensi yang ada pada vokalis Sweetchild itu.
“Acong merupakan peserta yang bagus. Setiap minggu kita dapat melihat persembahan yang penuh bertenaga daripada dia. Cuma nasib tidak menyebelahi Acong pada malam ini.
“Saya melihat persembahan kesemua peserta setiap minggu dan Acong tidak pernah melakukan kesilapan. Sayang kalau dia terkeluar begitu sahaja.
“Dengan kualiti persembahan yang ada pada dia, saya rasa adil untuk Acong menerima Imuniti tersebut,” katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui selepas konsert ke-tujuh GV2 pada Ahad lalu.
Selain itu, Datuk Seri Vida memberitahu sudah bersedia untuk menjawab pertanyaan daripada para peminat mengenai imuniti yang digunakan ke atas Acong.
“Saya harap pemilihan Acong tidak dijadikan isu kerana dia dibawa masuk semula atas persetujuan juri juga. Kalau ikutkan saya, semua peserta saya suka dan mahu mereka terus beraksi hingga ke pentas akhir,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengasas produk yang terkenal dengan tagline "Qu Puteh, Barulah Puteh" itu turut menyatakan rasa puas hatinya terhadap program Gegar Vaganza musim kedua ini.
“Tahun ini Gegar Vaganza (GV) lebih mantap dan ‘marvelous’. Saya sendiri tidak sangka musim ini GV menjadi viral.
“Ke mana-mana pun saya pergi, orang akan bercakap tentang GV termasuklah orang-orang kita yang berada di luar negara,” katanya.
Kepada penonton GV2, mampukah Acong menggunakan peluang kedua yang diberikan kepadanya? Jangan lupa untuk saksikan konsert minggu ke-lapan bertemakan ‘Karok Tarik’ pada minggu hadapan.
Program realiti ini menampilkan Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim sebagai juri profesional serta Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara.
Kini tujuh peserta lagi yang tinggal untuk merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 dan sebuah single terbitan Astro.
Adakah Nassier Wahab, Ezad Lazim, Acong Sweetchild, Haiza, Siti Nordiana, Azian Mazwan atau Farahdhiya yang akan disingkirkan pada pusingan ‘Ada Lagu, Ada Lagi’?
Nantikan konsert separuh akhir GV2 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada hari Ahad pukul 9 malam.