The Garden Of Evening Mists bakal pecah panggung
Irwan Muhammad Zain
Januari 9, 2020 21:07 MYT
Januari 9, 2020 21:07 MYT
Perkembangan sihat industri filem tempatan mutakhir ini telah mendorong banyak penerbitan filem yang berjaya di pawagam.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan, Astro Shaw berbesar hati dapat memainkan peranan penting dalam perubahan besar di dalam industri perfileman tanah air.
"Pada tahun 2017, filem tempatan menyumbang 5 peratus kepada jumlah pengutan kasar pecah panggung. Manakala tahun 2018 jumlah tersebut mencatat peningkatan sebanyak tiga kali ganda kepada 15 peratus dan tahun 2019 dijangka mencecah 13 peratus," katanya dalam satu kenyataan media sempena tayangan filem The Garden of Evening Mists (TGOEM).
Diadaptasi dari sebuah novel dengan judul yang sama, filem TGOEM bakal memasuki pawagam pada 16 Januari ini dan dijangka bakal menjadi satu lagi filem pecah panggung.
Filem cinta hasil kerja seni pengarahTaiwan Tom Shu-Yu Lin ini merupakan terbitan Astro Shaw dan HBO Asia dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan dengan kerjasama CJ Entertainment.
Penulis novel TGOEM, Tan Twan Eng berpuashati dengan adaptasi yang dilakukan oelh penulis skrip filem tersebut terhadap novelnya itu.
"Sejak dari awal saya sudah menjangkakan bahawa adaptasi ini akan berbeza dari novel yang saya hasilkan.
"Penulis skrip filem ini, Richard Smith dan pengarahnya Tom Shu-Yu Lin telah melakukan kerja yang sangat baik kerana berjaya menterjemahkan plot paling sukar dalam novel itu kepada filem berdurasi 2 jam ini.
"Saya rasa mereka berdua telah berjaya mengadaptasinya dengan sangat baik dan bijak," kata pada sidang media selepas sesi tayangan untuk media.
Bagi Tom Shu-Yu Lin, mengarah filem ini merupakan satu cabaran besar baginya kerana beliau tidak begitu mengenali Malaysia sebelum ini.
"Ianya sesutau yang sangat mengejutkan dan ia perlu diraikan kerana pengambaraan filem ini sebenarnya telah melalui satu kerja keras.
"Dari apa yang disaksikan di layar lebar setelah filem ini siap, saya rasa anda akan bersetuju bahawa filem ini bukan satu yang mudah untuk dihasilkan," katanya pada sidang media yang sama.
Salah seorang pelakon yang membintangi filem ini, Serene Lim mengakui perlu melakukan kajian yang mendalam untuk menjiwai watak yang diberikan kepadanya.
"Ini merupakan pengalaman pertama saya diberikan watak sebegitu. Lagipun, saya tidak pernah mengetahui mengenai wanita tahanan yang menjadi hamba seks Jepun," katanya.
Filem ini mengisahkan bagaimana kebencian yang melampau adakalanya boleh bertukar menjadi sebaliknya.
Perkara sama berlaku kepada Teoh Yung Ling yang menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun malah lebih teruk kebenciannya terhadap Jepun kerana adik kandungnya menjadi mangsa perkosaan dan dibunuh tentera dari negara matahari terbit itu.
Namun kebencian Yung Ling itu akhirnya menjadi cinta terhadap seorang lelaki yang pernah menjadi tukang kebun untuk Maharaja Jepun.
Yung Ling bertemu pekebun tersebut, Nakamura Aritomo bagi membina sebuah taman memperingati adik perempuannya yang meninggal dunia di kem tahanan tersebut.
Aritomo menolak pelawaan itu namun menawarkan Yung Ling menuntut ilmu dengan membantu beliau membina taman di Cameron Highlands, tempat tinggalnya.
Dari seorang perantis yang mahukan ilmu mereka bentuk taman, Yung Ling yang satu ketika sangat membenci Jepun jatuh cinta terhadap Aritomo.
Sebelum ini, TGOEM telah berjaya merangkul anugerah Rekaan Kostum dan Solekan Terbaik di anugerah berprestij, 56 Golden Horse Awards.
Malah lebih membanggakan apabial TGOEM menjadi filem Malaysia pertama mendapat 9 pencalonan, Filem Terbaik (Astro Shaw & HBO Asia), Pengarah Terbaik (Tom Shu-Yu Lin), Pelakon Wanita Terbaik (Lee Sinje), Lakon Layar Adaptasi Terbaik (Richard Smith), Sinematografi Terbaik (Kartik Vijay), Arahan Seni Terbaik (Penny Tsai Pei Ling, Lum Heng-Soon, Chen Hsuan-Shao), Rekaan Kostum & Solekan Terbaik (Nikki Gooley, Biby Chow, Penny Tsai Pei-ling, Nina Edwards), Skor Muzik Asal Terbaik (Onn San) dan Penyunting Filem Terbaik (Soon Mun-thye).
TGOEM turut melakar sejarah yang tersendiri apabila membuat penampilan antarabangsa dengan mengadakan tayangan di 24th Busan International Film Festival selain dipertontonkan di 16th Hong Kong Film Festival serta mendapat pengiktirafan untuk dipertontonkan di Taipei Golden Horse Film Festival menerusi Kategori 'Closing Film' tahun lalu.
#Astro Shaw
#filem
#henry tan
#novel
#panggung
#pecah
#Tan Twan Eng
#TGOEM
#The Garden of Evening Mists
#Tom Shu-Yu Lin