Gara-gara trend 'nicest/rudest celebrities', Anna Jobling risau tak balas lambaian peminat
Gempak
Jun 5, 2023 18:21 MYT
Jun 5, 2023 18:21 MYT
SEJAK minggu lalu, trend ‘nicest and rudest celebrities’ yang melibatkan artis-artis tempatan banyak diperkatakan, khususnya pengguna laman sosial Twitter.
Menerusi trend tersebut, netizen meletakkan dua keping gambar selebriti, dengan gambar selebriti ‘nice’ di sebelah kiri manakala selebriti ‘rude’ pula sebelah kanan.
Bagi pelakon Anna Jobling, dia berasa senang melihat gambarnya berada di bahagian ‘nice’.
Namun, dramatis yang popular menerusi drama Melur Untuk Firdaus itu berkata, dia bimbang juga sekiranya dia pernah mengecewakan hati segelintir peminat.
“Setakat ini, nama saya berada di kiri. Tapi takut juga kalau saya tak perasan bila ada orang pernah lambai tangan kepada saya. Mungkin saya tak pakai cermin mata.
“Sungguhpun saya sedih, penat atau tak ada mood, saya tetap ok dan cakap yes kalau peminat nak bergambar.
"Bagi saya, mudah cerita buruk akan tersebar kalau kita tak layan seseorang dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Anna berpendapat yang trend berkenaan seperti membuka aib seseorang artis.
“Artis juga manusia biasa yang ada perasaan. Kalaulah peminat ada masalah dengan artis, lebih molek jika simpan sendiri. Tak perlu fitnah mereka sehingga buat orang lain benci.
“Bagi saya, setiap orang akan ada bad day. Mungkin peminat bertemu dengan artis berkenaan ketika mereka sedang penat atau tak ada mood,” katanya lagi.
Sebelum menutup perbualan, Anna memberitahu yang dia akan sentiasa memastikan namanya bersih daripada sebarang kontroversi.
“Saya tak pernah buat masalah dengan sesiapa… saya tak kacau orang sebab saya hanya fokus kerja. Kalau tak kerja saya tidur,” tutupnya. -Gempak