Gara-gara terlalu popular, BTS tidak diundang ke majlis angkat sumpah Presiden Korea Selatan

Gempak
April 13, 2022 13:12 MYT
Memetik laporan agensi berita Yonhap, Joo-sun mengumumkan berita itu semasa taklimat akhbar di ibu pejabat pasukan peralihan kuasa di Seoul. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Jawatankuasa Majlis Angkat Sumpah Presiden Korea Selatan, Park Joo-sun mengesahkan kumpulan muzik tersohor, BTS tidak akan diundang untuk membuat persembahan pada majlis tersebut.
Memetik laporan agensi berita Yonhap, Joo-sun mengumumkan berita itu semasa taklimat akhbar di ibu pejabat pasukan peralihan kuasa di Seoul.
“Kami percaya adalah tidak sesuai untuk menjemput BTS kali ini kerana bakal Presiden mahukan sebuah majlis ringkas dan sederhana yang menggalakkan perpaduan negara sambil disertai oleh kanak-kanak, warga emas serta bintang kurang dikenali.
“Tambahan pula, dengan bajet yang terhad, sukar untuk menjemput bintang pujaan global seperti BTS, jadi kami memutuskan untuk tidak mengundang mereka,” katanya, memetik laporan portal Kosmo.
Namun, kata Joo-sun, beliau berharap akan ada peluang untuk menjemput BTS ke acara di masa depan yang lebih sesuai dengan status dan kemasyhuran kumpulan itu.
Beliau juga menolak tanggapan majlis angkat sumpah itu sebagai acara politik dan berkata, ia adalah acara negara yang ditetapkan oleh undang-undang.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Astro GEMPAK
#BTS #Park Joo-sun #majlis angkat sumpah Presiden Korea Selatan #Korea Selatan
;