Gara-gara suami tak suka kek, isteri kejutkan suami dengan Kek Laksa

Gempak
Julai 10, 2019 22:00 MYT
Wanita bernama Lyzz Layana itu berkongsi beberapa keping gambar laksa basah yang disusun cukup cantik menjadi bentuk kek. - Foto Facebook Lyzz Layana
SEORANG suri rumah bertindak kreatif meraikan sambutan ulang tahun suaminya dengan sesuatu yang istimewa!
Hanya kerana suaminya tidak gemar menikmati kek, menu yang wajib ada setiap kali sambutan hari jadi itu diganti dengan makanan kegemaran suaminya iaitu, laksa.
Menerusi satu status di Facebook, wanita bernama Lyzz Layana itu berkongsi beberapa keping gambar laksa basah yang disusun cukup cantik menjadi bentuk kek.
“Suami saya memang tak suka makan kek. Kalau beli pun dia makan cubit-cubit je. Tapi kalau dengan laksa, memang berhantu. Dari semalam saya duk fikir nak buat kek ke nak buat laksa.
“Maka tercetuslah idea KEK LAKSA. Confirm habis sebab satu family memang hantu laksa. Hanya ni je termampu sebab saya suri rumah. Moga usaha ini dapat gembirakan hati dan perut suami,” jelasnya menerusi satu entri di Facebook.
Tak lengkap laksa tanpa sayuran, Lyzz juga tidak ketinggalan menghias sayuran yang biasanya dinikmati bersama laksa iaitu timun, bawang dan cili merah mengelilingi kek laksa tersebut.
Paling comel, tanda ‘happy birthday’ turut tersemat kemas di atas himpunan laksa tersebut sedia menanti kepulangan suaminya.
Status dan gambar kek laksa tersebut sehingga kini telah mencecah 500 perkongsian di Facebook dan mengundang hampir 2,500 komen daripada netizen.
#Facebook #harijadi #kek harijadi #kek laksa #sambutan hari jadi
;