Gara-gara pinggul, The Rock hadiahkan kereta besar untuk ayah
Agensi
Mac 20, 2018 06:00 MYT
Mac 20, 2018 06:00 MYT
TERNYATA Dwayne ‘The Rock’ Johnson bukan sekadar hebat di gelanggang gusti dan layar perak. Hakikatnya penghibur bertubuh sasa ini seorang anak yang bertanggungjawab.
Dwayne yang kini bergelar pelakon paling berharga di Hollywood itu membuat kejutan buat ayahnya Rocky Johnson yang juga seorang ahli gusti hebat suatu ketika dulu.
Kejutan yang dimaksudkan itu adalah hadiah brupa sebuah kereta baharu. Dwayne berbuat demikian semata-mata demi keselesaan ayahnya yang menjalani pembedahan pinggul baru-baru ini.
Di laman Instagramnya, Dwayne berkongsi kisah ketika dia menerima panggilan telefon daripada ayahnya yang memaklumkan mengenai nasihat doktor agar dia menaiki kereta yang lebih besar.
“Saya sudah tahu apa yang ayah mahu. Sebelum dia habis bercakap, saya suruh dia pergi ke kedai kereta dan pilih sahaja kereta mana yang dia mahu,” kata Dwayne.
Tidak lama kemudian ayahnya mendapatkan sebuah kereta besar jenama Cadillac berwarna hitam.
Bagi pelakon Jumanji itu, jasa ayah terhadapnya terlalu besar terutama ketika melatihnya menjadi seorang ahli gusti sejak zaman kanak-kanak lagi.
“Waktu kanak-kanak dahulu, saya cukup marahkan ayah kerana mengenakan latihan yang cukup keras termasuk sepak terajang.
"Tetapi apabila dewasa, saya hargai semua itu kerana latihan itulah yang menjadikan diri saya pada hari ini,” kata Dwayne.