Gangguan seksual: "Cium tangan dua kali, bukan cium biasa!"- Ara Johari trauma
Gempak
Jun 27, 2023 12:41 MYT
Jun 27, 2023 12:41 MYT
PENYANYI Ara Johari berdepan detik mencemaskan apabila seorang lelaki tidak dikenali bertindak melakukan gangguan seksual dengan mencium tangannya selepas dia menjayakan satu persembahan di Nilai, Negeri Sembilan pada Ahad.
Ara yang masih trauma menceritakan kejadian tersebut menerusi akaun Instagram miliknya.
“Semalam, ada seorang lelaki yang datang dekat saya untuk bergambar. Masa tu ada keluarga saya dan PA.
“Saya pun okaylah jom ambil gambar. Nanti tak ambil gambar cakap sombong. Kemudian dah ambil dia macam buat hal sendiri dulu.
“Saya pun tak fikir apa jadi sambung borak dengan mak tapi tak perasan dia masih berada di sekeliling saya dan keluarga.
“Tiba-tiba dia datang hulur tangan nak salam. Saya selalunya tidak bersalaman dengan orang yang tidak dikenali terutamanya lelaki.
“Saya tak fikir panjang, salam sahajalah sebab nak bagi dia pergi sebab detik tu dah jadi kekok. Bila dah salam tiba-tiba dia genggam tangan saya kuat-kuat.
“Saya pun dalam hati eh pasal mamat ni. Tetapi dalam hati tu dah selawat, istighfar semua lah. Sebab takut juga apa-apa jadi.
“Ingatkan dia pergi lepas salam, tapi tak ya, dia masih ada kawasan situ. Lepas tu saya terus suruh adik jemput, dah mula rasa tak selesa.
“Bila saya nak gerak, dia datang balik fist bum my PA. Kemudian datang dekat saya, ingatkan dia nak fist bum. Jadi saya bagi lah fist bum juga. Tapi ternyata... dugaan ku salah,” kongsinya.
Jelas Ara lagi, lelaki tersebut kemudiannya menarik dan mencium tangannya sebanyak dua kali.
“Dia terus tarik tangan nak salam, lepas tu dia genggam kuat-kuat. Dan cium tangan saya dua kali. Bukan cium biasa tau. Memang cium bersungguh betul!
“Saya cuba tarik tangan pun tak boleh sebab dia dah pegang kuat gila. Kemudian dia pergi, tetapi saya sempat pukul belakang dia dan cakap eh kau ni siapa?
“Tapi salah lah kau nak pergi masa ramai orang dekat sekeliling. Saya jerit tau panggil lepas tu PA saya dan ada beberapa orang kejar dia tetapi dia lari.
“Mula-mula ingatkan tak dapat tangkap tau sebab laju. Orang awam yang ada terus sambung kejar dan tangkap,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ara juga memaklumkan telah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Nilai kerana bimbangkan keselamatan dirinya.
“Nak dijadikan cerita polis pun laju datang dan tangkap dia bawa pergi balai. Saya juga tabik dengan orang Malaysia.
“Mereka sama-sama tolong, walaupun dia tak kenal siapa dan tak tahu pun kes apa. Mereka hanya dengar orang jerit suruh tolong tangkap je,” tulisnya.
Terdahulu, seorang lelaki ditahan kerana didakwa mencabul kehormatan penyanyi wanita selepas selesai membuat persembahan pada satu acara di Dataran Nilai, Bandar Baru Nilai.
Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan. -- Gempak