Gabungan 4 artis legenda jayakan Majlis Amal Nostalgia Legenda, bantu penggiat seni terjejas COVID-19
Aida Aziz
Oktober 19, 2022 09:00 MYT
Oktober 19, 2022 09:00 MYT
IPOH: Kehadiran empat artis legenda sempena Majlis Amal Nostalgia Legenda yang berlangsung di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC), di sini baru-baru ini, begitu bermakna dalam membantu penggiat seni yang terkesan selepas pandemik.
Walaupun sudah dua tahun COVID-19 melanda dunia, namun kesannya masih membekas sehingga ada di antara anak seni yang hilang pendapatan untuk menyara keluarga.
Tidak terkecuali, pemuzik yang terpaksa menjual alatan muzik kerana kekangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan penganjuran acara dalam bilangan yang ramai.
Sekurang-kurangnya kini, ramai di antara kita boleh menghela nafas lega.
Tiada lagi sekatan bagi semua sektor, tapi perlu diingat yang 'parut' susulan pandemik itu tetap ada.
Sehubungan itu, inisiatif yang dilaksanakan oleh Nerv Global Sdn Bhd dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bertujuan mencari dana untuk membantu golongan artis yang memerlukan.
Lebih istimewa, kehadiran eksklusif Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah, yang berkenan ke majlis tersebut.
Hadir sama, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Menurut penasihat acara tersebut, yang juga wakil Nerv Global Sdn Bhd, Dr Raja Putra Shah, majlis amal yang dihadiri 600 penonton itu terdiri daripada usahawan tempatan, syarikat GLC dan agensi penyokong industri keusahawanan negara.
"Ia mampu menarik minat mereka sekali gus membuka peluang kepada para artis legenda ini mengadakan persembahan di majlis-majlis korporat dan sosial anjuran organisasi dan rangkaian niaga mereka.
"Walaupun kerajaan sudah membuka semula sektor hiburan pada awal penamatan PKP bagi membolehkan para artis dan penggiat seni meneruskan pencarian pendapatan.
"... termasuk pelbagai inisiatif oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Karyawan, sudah tentu ia ambil masa agak lama untuk menstabilkan keadaan sosio-ekonomi mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, mengulas lanjut berhubung pemilihan empat artis legenda itu, katanya ia bertepatan dengan fenomena dan nostalgia yang masih dekat di hati rakyat Malaysia.
"Kenapa kita memilih empat artis legenda ini, iaitu Shuib, Fredo, Jay Jay dan Zur Eda?
"Mereka merupakan artis seangkatan yang pernah popular dengan lagu hits masing-masing pada era 80-an.
"Kenangan Lalu nyanyian Fredo Flybaits, Mulanya di Sini nyanyian Shuib Freedom, Rindu Bayangan nyanyian Jay Jay Carefree dan Pelitaku nyanyian Zur Eda sememangnya membawa kenangan nostalgia dan menggamit memori.
"Mereka pernah dan sentiasa menjadi idola serta sumber inspirasi menerusi kehebatan suara, keasyikan melodi dan keindahan lirik yang membekas di dalam hati para pendengar sehingga kini," jelasnya lagi.
Turut menyerikan majlis, artis jemputan, Iqa Nasra, Datin Maylene Yong, selain kumpulan Migos yang tampil membuat persembahan.
Tambahnya, kolaborasi majlis amal itu tidak terhenti di situ sahaja tetapi akan diteruskan dengan jenama Nostalgia Legenda.
Kesinambungan itu katanya akan diteruskan menerusi perjanjian kerjasama antara Karyawan dan Nerv Global Sdn Bhd, dengan pelantikan beliau selaku penasihat acara.