'Future Past' rai 40 tahun kegemilangan Duran Duran

Astro Awani
Oktober 22, 2021 09:18 MYT
Ditubuhkan oleh John Taylor (kanan) dan Nick Rhodes pada tahun 1978, Duran Duran mula terkenal dengan lagu hit seperti "Girls on Film" dan "Rio". -Reuters
KUMPULAN pop terkenal Britain era 80-an, Duran Duran mengumumkan album baharu kugiran itu pada Jumaat, lapor Reuters.
Kugiran pop 'new wave' yang popular satu ketika dahulu dengan lagu-lagu "Hungry Like a Wolf, "New Moon on Monday", Wild Boys", dan "A View to a Kill" kini tampil dengan album studio ke-15 mereka, "Future Past".
Selepas 40 tahun, kumpulan yang dianggotai empat ahli utama ini masih gah di persada muzik antarabangsa.
Bagi pemain bass John Taylor, dia tidak menjangka band yang membuat penampilan sulung awal 80-an ini akan bertahan hingga sekarang, apatah lagi selepas melalui pelbagai kemelut dalaman sepanjang karier mereka.
"Kami tidak pernah menyangka akan terus bermain muzik bersama selama ini.
"Kami hanya remaja dan kami bersama bermain muzik punk rock.
Ditubuhkan oleh John Taylor dan pemain keyboard Nick Rhodes pada tahun 1978, Duran Duran mula terkenal dengan lagu hit seperti "Girls on Film" dan "Rio".
Kumpulan ini, bersama penyanyi utama Simon Le Bon dan pemain dram Roger Taylor, telah menjual lebih 100 juta rekod di seluruh dunia dan memenangi dua Anugerah Grammy.
Lagu baharu mereka "Anniversary" meraikan 40 tahun sejak mereka melancarkan album pertama pada tahun 1981.
"Anniversary" ialah lagu yang meraikan zaman kami bersama dalam kumpulan ini, malah ia juga terbuka untuk semua orang dan apa sahaja yang ingin diraikan oleh sesiapa sahaja," kata Taylor.
Untuk album baharu mereka, band ini berkolaborasi dengan penerbit Erol Alkan dan Giorgio Moroder, sementara gitaris Blur Graham Coxon, band punk Jepun CHAI dan rapper Ivorian Doll, antara lain, tampil dalam gabungan lagu eklektik.
Kami selalu berasa selesa untuk mencuba pelbagai perkara dalam genre yang berbeza secara muzik, kata Rhodes.
"Kami menetapkan parameter yang sangat luas sejak awal.
"Album pertama kami ada lagu 'dance' di dalamnya, tetapi ia juga mempunyai instrumental enam ke tujuh minit dengan orkestra, serta beberapa lagu yang 'dark'."
Proses menghasilkan album tersebut bermula pada akhir 2018 namun pandemik COVID-19 memaksa mereka menangguhkan projek selama kira-kira 10 bulan.
#Duran Duran #anniversary #Future Past #album studio baharu
;