Future Music Festival Asia berhijrah ke Singapura

Astro Awani
November 17, 2014 20:55 MYT
Sebelum ini, FMFA 2014 yang diadakan di Stadium Bukit Jalil pada Mac lalu dibatalkan disebabkan enam orang pengunjungnya maut dipercayai mengambil dadah berlebihan.
Setelah tiga tahun diadakan di Malaysia, hari ini penganjur festival muzik terbesar di Malaysia - The Livesscape Group dan Future Music Australia mengumumkan Future Music Festival Asia (FMFA) tahun hadapan akan diadakan di Singapura.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Livescape Group, Iqbal Ameer, keputusan menamakan Singapura sebagai ‘rumah baru’ adalah merupakan langkah progresif seterusnya untuk jenama tersebut.
Iqbal berkata, Singapura merupakan pilihan yang tepat bagi FMFA kali ini kerana infrastrukturnya bertaraf dunia dan sistem sokongan yang sangat baik yang penting dalam memastikan kejayaan acara.
"Selepas berbulan-bulan berbincang, kami yakin bahawa dengan memindahkan lokasi FMFA ke seberang tambak, kita akan dapat menyediakan satu persekitaran yang selamat dan menyeronokkan.
Dalam masa yang sama festival itu masih lagi mudah untuk dikunjungi oleh peminat kami dari Malaysia” kata Iqbal.
Festival yang diberikan jolokan pesta muzik elektronik terbesar di Asia Tenggara itu akan berlangsung pada 14 – 15 Mac 2015 di Singapura.
Sebelum ini, FMFA 2014 yang diadakan di Stadium Bukit Jalil pada Mac lalu dibatalkan disebabkan enam orang pengunjungnya maut dipercayai mengambil dadah berlebihan.
#fmfa #Future Music Festival Asia #Livescape Group
;