Freddie Fernandez kekal terajui Karyawan
Sinar Harian
Julai 3, 2023 12:41 MYT
Julai 3, 2023 12:41 MYT
SHAH ALAM : Datuk Freddie Fernandez kekal menerajui Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bagi penggal 2023 hingga 2026.
Pemilihan Freddie diundi secara sebulat suara oleh ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Karyawan ke-24 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Freddie berkata, isu dan masalah membabitkan ahli-ahli persatuan akan terus diberi perhatian agar kebajikan mereka diperjuangkan.
“Karyawan akan mengadakan pelbagai aktiviti untuk mengisi tabung supaya dapat meneruskan usaha menjaga hak dan kepentingan ahli.
“Isu royalti artis, masalah dihadapi artis rakaman, pemuzik kelab dan hotel, pemuzik dan artis jalanan atau buskers dan isu bayaran persembahan yang seringkali menyaksikan artis tempatan dipinggir berbanding artis luar negara perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Selain Freddie, pemilihan Ahli Lembaga Eksekutif dibuat pada AGM kali ini termasuk pelakon Radhi Khalid sebagai Timbalan Presiden, Rozita Rohaizad (Setiausaha Kehormat), Kamal Kassim (Bendahari) dan enam Ahli Jawatankuasa iaitu Norshila Amin, Jude Singho, Don Guerzo, Putri Balqish Agalan, Helmi Gimmick serta Haniah Hassan.
Sejak tahun 2021, Karyawan menjalankan aktiviti kebajikan dan bantuan kepada ahli-ahli yang menghadapi masalah akibat ketiadaan sumber rezeki.
Baru-baru ini beberapa usaha telah dilakukan untuk membantu dua artis yang mengalami penyakit serius iaitu Iskandar Spring dan Ibnor Riza.
Tambah Freddie, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya juga menyalurkan bantuan melalui Karyawan kepada ramai artis termasuk artis rakaman, kelab dan penggiat seni dari bidang lain yang merupakan ahli persatuan itu.
"Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya serta agensi kerajaan lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sentiasa menyokong usaha dan aktiviti ahli-ahli Karyawan,” ujarnya. - Sinar Harian