Foto turun dari pesawat, Shah Rukh Khan tidak henti berzikir
Gempak
Ogos 6, 2015 10:50 MYT
Ogos 6, 2015 10:50 MYT
Sedia maklum, aktor Shah Rukh Khan agak ‘Berat Mulut’ apabila melibatkan isu agama. Lebih-lebih lagi setelah mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Gauri Chibber yang beragama Hindu.
Malah pada tahun 2009 sebuah madrasah di India telah mengkritik dan mengeluarkan fatwa bahawa Shah Rukh Khan telah murtad kerana mengeluarkan kenyataan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Walau bagaimanapun, baru-baru ini peminat di India dikejutkan dengan sekeping foto dia di lapangan terbang sedang memegang tasbih selepas tiba dari menjalani penggambaran filem di Bulgaria.
Meskipun pihak media menunggunya di pintu ketibaan, aktor berusia 49 tahun itu tetap tenang memegang tasbih berwana cokelat kemerahan sambil bibirnya bergerak.
Foto tersebut mendapat pelbagai reaksi peminat yang rata-rata agak terkejut dengan insiden tersebut dan memuji perubahan aktor kesayangan mereka itu.
Terdahulu, Shah Rukh Khan pernah menyatakan hasrat ingin mengerjakan ibadah Haji di tanah suci Mekah setelah usia anak-anaknya sudah meningkat dewasa.