Foto separuh bogel: Lihat ciri baik seseorang, bukan cari kesilapan - Alicia Amin
Gempak
September 8, 2017 09:34 MYT
September 8, 2017 09:34 MYT
PESERTA program Asia's Next Top Model (ANTM) musim kelima, Alicia Amin meminta netizen untuk melihat kebaikan seseorang dan bukan hanya mencari kesalahan.
Alicia berkata demikian ketika mengulas mengenai foto separuh bogelnya yang tular dan menjadi bualan netizen baru-baru ini.
"Saya berharap netizen mencari ciri-ciri baik dalam seseorang dan bukannya mencari kesilapan.
"Mencari kesilapan orang lain tidak akan menjadikan mereka lebih bahagia. Saya tahu pandangan saya mungkin tidak sama dengan orang lain.
"Tetapi saya percaya kita hidup di negara yang mempertahankan hak kita untuk menerima semua budaya, bangsa, agama dan hidup bahagia antara satu sama lain," ujarnya sepertimana dipetik daripada mStar Online.
Alicia telah dikecam teruk di media sosial ketika tampil memperagakan koleksi pakaian dalam jenama Victoria’s Secret dalam satu sesi fotografi.
Bagaimanapun Alicia memberitahu foto tersebut diambil di Melbourne, Australia pada tahun 2016.
Alicia atau nama sebenarnya Raja Alicia Raja Amin, 22, dianggap terlalu berani oleh netizen, tambahan lagi dia berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Dalam perkembangan karier seninya, Alicia ingin mengambil kelas lakonan untuk memperbaiki kemahiran dalam bidang tersebut.
Model Kacukan Melayu-Jerman ini juga mahu mencabar diri dengan menerima lebih banyak watak dalam bahasa Inggeris dan Melayu.
"Saya berharap dapat mengambil kelas lakonan dan memperbaiki kebolehan dan kemahiran dalam bidang ini.
"Malah, saya teruja untuk belajar dan menyerap semuanya seperti span. Selagi ada peluang yang datang, saya ingin mencabar diri saya dengan lebih banyak watak sama ada dalam bahasa inggeris atau bahasa Melayu," kata Alicia.
Sumber: mStar Online
Foto: Instagram Alicia Amin
#Alicia Amin
#antm
#Asia's Next Top Model
#foto separuh bogel
#koleksi pakaian
#sesi fotografi
#Victoria s Secret