Foto pertunangan Adira dan Shahrul gembirakan peminat
Astro Awani
April 1, 2015 17:09 MYT
April 1, 2015 17:09 MYT
Penyanyi yang dicungkil bakat daripada program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Adira, dalam diam sudahpun mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihannya, Shahrul Nasrun Kamarudin, 29, sejak tiga bulan lalu.
Majlis yang dilangsungkan pada 22 Disember 2014 di Kundasang, Sabah itu diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh kedua-dua belah keluarga Adira serta Shahrul.
Adira atau nama penuhnya Siti Adira Suhaimi, 24, yang popular melalui lagu Aku Ada Kamu dan Dewi Cinta itu dan pasangannya telah menetapkan tarikh pernikahannya pada September depan.
Foto pertunangan mereka mula dimuat naik di akaun Instagram Shahrul sejak empat hari lalu dan mendapat reaksi gembira daripada peminat yang sama-sama mendoakan kebahagiaan mereka berdua.
Pasangan itu khabarnya mereka bakal bernikah pada hari ulang tahun kelahiran Adira dan majlis resepsi juga dijangka bakal dilangsungkan di Kota Bharu, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.
Hubungan Adira dengan Shahrul yang merupakan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBG1M) sebelum ini bukan lagi rahsia berikutan masing-masing pernah mendedahkan tentang keserasian antara mereka, termasuklah tentang keluarga masing-masing yang sudah saling bertemu.