Fitri Carlina dan dangdut 'tawan' Times Square, New York
Agensi
September 13, 2021 13:24 MYT
September 13, 2021 13:24 MYT
BUKAN hanya menjadi artis kedua dari Asia selepas BTS yang diberi ruang beraksi di Times Square, New York, Amerika Syarikat, sebaliknya, apa yang turut menjadi sejarah yang akan dikenang ialah irama muzik dangdut juga diberi perhatian.
Fitri Carlina dari Indonesia memberi perspektif baharu pada genre dangdut kepada pencinta muzik apabila memperkenalkan muzik berkenaan di negara Uncle Sam itu.
Bagi penghibur berusia 34 tahun itu, peluang yang diberikan kepadanya itu amat bermakna sekali kerana jarang sekali artis dari Asia mendapat peluang sedemikian.
Kunjungan penyanyi yang terkenal dengan lagu ABG Tua itu juga seiring dengan hasratnya untuk melancarkan Café Dangdut di New York.
Menyedari peluang beraksi di Times Square sangat sukar diperoleh, Fitri mengambil peluang memberikan persembahan bertenaga selain memastikan imejnya di pentas mudah menangkap perhatian penonton.
Hasilnya, kemunculannya itu menjadi bahan perbualan ramai.
“Sebelum ini pada 2019, BTS dari Korea Selatan pernah diberi peluang dan pada tahun ini Indonesia pula dapat peluang dalam acara Indopop Movement.
"Untuk Indonesia, baru pertama kali dalam sejarah mengadakan 'live show' di tengah-tengah Times Square," kata Fitri berkongsi kegembiraanya dalam wawancara bersama portal Liputan6.com baru-baru ini.