FINAS tekad bantu penggiat industri kreatif

Bernama
Disember 18, 2023 06:45 MYT
Datuk Kamil Othman (empat, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif, FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (tiga, kanan) dan Rozaidi Abdul Jamil (empat, kiri) bergambar bersama antara penyumbang Sumbangan Bantuan Industri Kreatif, pada Isnin. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tekad mengambil inisiatif memberi bantuan kepada penggiat industri kreatif menerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri.
Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman berkata jawatankuasa yang dipengerusikan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi akan menyelaras agihan bantuan secara sistematik menerusi data yang diperolehi.
"FINAS sentiasa memerhati penggiat industri yang perlu bantuan secara langsung atau tidak dan mendapati bantuan yang diberi adalah secara ad-hoc. Jadi, kita mahu buat bantuan dengan cara yang lebih sistematik," katanya kepada media selepas merasmikan Program Sumbangan Bantuan Industri Kreatif, di sini pada Isnin.
Beliau berkata jawatankuasa itu turut akan bekerjasama dengan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) yang mempunyai 11 persatuan seni bagi menyalur dan berkongsi maklumat tentang kebajikan individu, persatuan dan badan berkaitan industri kreatif negara sebagai satu sinergi.
"Tujuan jawatankuasa itu juga adalah agar artis kita dan penggiat industri kreatif disatukan, jadi cara terbaik sekarang ini adalah mendaftarkan diri kepada FINAS, bila sudah daftarkan diri FINAS ada rekod dan data, memudahkan agihan memberi sumbangan," katanya.
Sementara itu, Zed Zaidi berkata setakat ini, seramai 100 penggiat seni akan menerima bantuan daripada program tersebut dan menyasarkan lebih lagi bantuan akan diberikan setelah mendapat data dan rekod daripada GAFEMA.
"Untuk 2024 kita sudah ada perancangan, siapa yang akan diberi (bantuan) kerana di FINAS ini tidak fokus kepada artis sahaja, kita fokus juga kepada kru, pengarah, penerbit dan kategori lain bernaung di bawah FINAS," katanya.
Beliau berkata jawatankuasa telah bersedia untuk bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi membantu pengagihan bantuan kepada penggiat industri kreatif sekiranya berlaku bencana susulan Monsun Timur Laut (MTL).
-- BERNAMA
#FINAS #industri kreatif #Seniman #Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia
;