Finas tayang KL Gangster di Singapura
Bernama
Februari 1, 2013 11:28 MYT
Februari 1, 2013 11:28 MYT
Filem Malaysia yang meraih kutipan box-office RM12 juta, KL Gangster, akan ditayangkan pada pameran industri filem Malaysia sempena Anugerah Seri Temasek yang berlangsung di Singapura esok.
Delegasi 19 anggota diketuai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Md Afendi Hamdan berlepas ke Republik itu hari ini bagi menyertai majlis anugerah dwitahunan mengiktiraf karyawan seni Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Md Afendi dijadual berucap pada majlis Anugerah Seri Temasek itu serta menyampaikan Anugerah Cemerlang Seri Temasek pada majlis yang akan berlangsung di Hotel Fairmont, Singapura esok.
Menurut aturcara yang dikeluarkan Finas, agensi itu juga akan mengadakan sesi perbincangan bertajuk 'Hala Tuju Industri Perfileman Malaysia - Harapan dan Cabaran'.
Antara yang terlibat dalam sesi perbincangan itu ialah Pengarah Promosi dan Pemasaran Finas Abd Khalid Maulod, Pengarah Filem KL Gangster Syamsul Yusof dan Pengarah Urusan Skop Production Datuk Yusof Haslam.
Anugerah juga akan dimeriahkan dengan persembahan penghibur tanah air Datuk Sharifah Aini, Jamal Abdillah dan tiupan saksafon Datuk Dr Ahmad Nawab, selain nyanyian wakil artis Singapura Taufiq Batishah dan Bob Tutupoly dari Indonesia.