FINAS sasar jalin kerjasama produksi global di ATF 2015

Bernama
November 28, 2015 14:27 MYT
Naib Presiden Creative Multimedia Dept (MDEC), Kamil Othman, memberi penerangan berkenaan 'Hubungan Inspirasi' sempena KL Converge di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada 18 September. - Gambar Bernama
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berhasrat menjalin usahasama produksi antarabangsa baharu dengan beberapa agensi pada acara Pasaran dan Forum TV Asia 2015 (ATF) di Singapura pada 2-4 Dis, 2015.
Lebih 100 mesyuarat padanan perniagaan akan dianjurkan sepanjang acara itu bagi mengukuhkan lagi rangkaian perniagaan antara Malaysia dan syarikat global.
"Pada tahun ini, sejumlah 21 syarikat Malaysia menyertai delegasi negara termasuk Animasia Production Sdn Bhd, Animonsta Studios Sdn Bhd, Astro, Go ASEAN, Inspidea Sdn Bhd, Media Prima Berhad, Primeworks Studios Sdn Bhd dan Total Sport Asia," kata Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman, ketika dihubungi Bernama.
Beliau yang menghadiri acara itu buat pertama kali sejak pelantikannya menerajui FINAS, akan turut menemui beberapa agensi global bagi menjalin kerjasama serta menggalakkan produksi bersama antarabangsa.
ATF disifatkan acara wajib bagi menyelami sisi dinamik pengembangan industri kandungan hiburan Asia.
Malah, kata Kamil, acara sedemikian yang mahu dimanfaatkan FINAS dengan objektif penghasilan bersama kandungan baharu, khususnya filem cereka, animasi, siri televisyen, dokumentari dan sebagainya.
FINAS akan turut berbincang dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Media Singapura (MDA) di ATF 2015 untuk promosi dan kemudahan pertukaran kandungan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kreatif.
Ia akan turut memuktamadkan perjanjian produksi bersama dengan Screen Australia, iaitu badan pembiayaan utama Australia bagi industri produksi layar negara itu.
FINAS juga, beserta pihak Go ASEAN dan Pinewood Iskandar Malaysia Studios, akan menganjurkan bersama Majlis Sambutan Jaringan Kreatif Malaysia pada 2 Dis bagi memantapkan hubungan sedia ada bersama penggiat utama antarabangsa serta berbincang lanjut mengenai akses terhadap pasaran kandungan Malaysia.
Selain itu, FINAS juga menyasarkan untuk menarik penglibatan rakan produksi bersama dari Perancis, Sepanyol, Korea Selatan, China, Taiwan dan Jepun di ATF 2015, sekaligus dapat memanfaatkan pelbagai dana disediakan agensi berkenaan.
Insentif berkenaan termasuk Dana Produksi Bersama yang baharu dilancarkan dan bertujuan menyalur bantuan kewangan bagi kategori projek dihasilkan bersama sebuah syarikat tempatan dengan satu atau lebih syarikat asing.
Insentif Filem di Malaysia (FIMI) pula menawarkan rebat tunai 30 peratus bagi Perbelanjaan Pengeluaran Produksi Malaysia yang layak (QMPE), akan diperkenalkan semula di ATF 2015 bagi menarik penghasilan produksi bersama di Malaysia.
"Kejayaan berterusan insentif itu disasarkan dapat memacu pertumbuhan industri kandungan kreatif Malaysia sebanyak 30 peratus yang membawa kepada penawaran kerja dan peluang pendapatan," katanya.
Menurut Kamil, dalam tempoh beberapa tahun lagi, FINAS menyasarkan industri kandungan Malaysia akan melonjak dan muncul penggiat utama di rantau ini menerusi kerjasama dan produksi bersama yang berkesan.
Antara hasil produksi bersama FINAS yang berjaya termasuk Lelaki Harapan Dunia (Everything Films, Malaysia bersama Volya Films, Belanda; Flying Moon Filmproduktion, Jerman; Mandra Films, Perancis dan sebagainya); 'Welcome to the Railworld – Japan' (Primeworks Studios, Malaysia dengan Nippon TV, Jepun); 'Upin, Ipin dan Ultraman Ribut' (Les' Copaque Production, Malaysia bersama Tsuburaya Productions, Jepun) dan 'Bubble Bath Bay' (Lemon Sky Animation and Ideate Media, Malaysia bersama Telegael, Ireland).
Delegasi Malaysia ke ATF 2015 dianjurkan oleh FINAS, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Perbadanan Pembangunan Multimedia dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia.
#FINAS #Kamil Othman #MDA #Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia
;