FINAS perlu bina kerjasama dua hala, mantapkan industri kreatif negara - Salleh

Bernama
Ogos 27, 2016 21:23 MYT
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berucap pada sesi Dialog dan Forum 'Strategic Issues Forum and Corporate Malaysia Roundtable' hari ini. - Foto Bernama
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) perlu membina lebih banyak kerjasama dua hala dengan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, persatuan dan masyarakat bagi memantapkan lagi pembangunan industri kreatif negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kerjasama strategik seumpama itu perlu sentiasa diperkasa sebagai usaha mewujudkan sinergi industri yang kreatif dan bersifat transformatif.
Beliau berkata Pelan Transformasi Industri adalah contoh kepada pengukuhan dan penjenamaan fungsi yang lebih baik selaras dengan konteks semasa.
"Transformasi ini seharusnya dilihat sebagai sinergi industri yang mampu menjana kepada pembangunan industri filem khususnya dari aspek modal insan yang turut menjadi tunjang industri," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan program Jom Buat Filem Pendek di sini pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman. Program anjuran Finas dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud itu berlangsung sejak 17 Ogos lalu yang disertai 90 pelajar daripada sembilan sekolah menengah di sekitar Kota Belud.
Antara aktiviti pada program itu adalah ceramah dan bengkel mengenai penerbitan filem pendek, penulisan skrip, latihan amali penulisan skrip dan persediaan untuk penggambaran serta pengenalan lakonan filem.
Salleh berkata program Jom Buat Filem Pendek seumpama itu sangat signifikan sebagai manifestasi kepada usaha pembangunan kemahiran dan kreativiti modal insan dalam industri perfileman.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, seramai 50,000 pelajar daripada 86 sekolah menengah di luar bandar dan 14 universiti awam seluruh negara menyertai Kelab Pencinta Filem kelolaan Finas yang ditubuhkan sejak 2007 dengan akreditasi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Di Sabah, sebanyak 10 sekolah menengah menjadi anggota kelab itu, dengan 150 orang daripada mereka telah melanjutkan pelajaran dalam bidang industri kreatif di universiti dan politeknik, katanya.
"Ini membuktikan usaha kerajaan untuk menggilap potensi anak-anak muda boleh terus diperkasakan dengan modul-modul interaktif sesuai dengan peredaran masa dan pembangunan teknologi," katanya.
#Dr Salleh Said Keruak #FINAS #Menteri Komunikasi dan Multimedia
;