Finas, jangan bunuh pembikin filem dari 'Kelate' - Persatuan Anak Kelantan
Wan Syamsul Amly
Februari 21, 2016 15:38 MYT
Februari 21, 2016 15:38 MYT
Pengumuman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk menggubal semula syarat Skim Wajib Tayang merisaukan semua pembikin filem tempatan terutama mereka yang masih baru dalam industri berkenaan.
Timbalan Pengerusi Biro Penerangan dan Aduan, Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, kerisauan itu turut menakutkan pembikin filem prolifik dan indie yang masih bertatih untuk menerbitkan filem sendiri.
"Kejayaan kebanyakan karya bukan forte pembikin filem di negara ini bergantung pada nasib dan peluang yang ada. Bagi mengelak rungutan terus dikitar semula, Finas perlu berfikir di luar kotak.
"Mereka perlu mengurangkan aktiviti yang menelan belanja besar seperti budaya melancong ke pasar filem dan pulang tanpa ole-ole. Penganjuran konferen atau forum yang tepu juga ibarat usaha yang semakin tawar.
"Bagi pembikin filem tempatan, sokongan yang paling penting ialah cara pemasaran dan promosi. Skim Wajib Tayang tidak sepenting Skim Wajib Promosi. Kepakaran ini yang pembikin tiada," katanya semasa menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Wan Syahrul Amry berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman yang berkata penggubalan syarat Skim Wajib Tayang itu bertujuan menjaga kualiti filem dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Skim Wajib Tayang diperkenalkan untuk mempertimbangkan mana-mana filem tempatan untuk ditayangkan secara wajib di pawagam oleh pempamer.
Dalam pada itu tegas Wan Syahrul Amry, pembuat filem memerlukan sebuah organisasi untuk membantu mereka memasarkan produk ke tahap tertinggi.
"Billboard, LED dan pemasaran atas talian mampu mengalih tugas Skim Wajib Tayang. Panggung juga kini tidak lagi rasa terpaksa. Jika dengan strategi pemasaran yang standard, produk masih lagi tidak boleh dijual, maka itu salah pembikin produk.
"Ini adalah peluang untuk industri menapis dalam mencari kualiti dan bukan kuantiti. Isu ini lebih terkesan buat pembikin filem terutama yang berasal dari Kelantan, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Mereka berhijrah dari negeri untuk mencari rezeki di peringkat persekutuan.
"Berdepan dengan penafian karya mereka di peringkat negeri, karya karya besar seperti Jogho, Wayang, Bunohan dan seumpanya seperti di anak tirikan di negeri kelahiran sendiri," jelasnya.
Katanya lagi, anak Kelantan yang berkarya dan meminati karya tempatan kini ibarat hilang arah untuk dituju.
"Era internet, busking dan gerai makan lebih menzahirkan gejala sosial jika itu menjadi alasan tiadanya panggung wayang di negeri Kelantan. Jangan salahkan pengusaha pawagam perusahaan sendirian berhad kerana mereka memiliki pemikiran mencari keuntungan dan etika syarikat mereka yang tersendiri.
"Tetapi kerajaan memiliki perbadanan untuk 'ditepuk' dan selera rakyat sudah lama terbuka secara tidak tentu hala. Kenapa tidak diwujudkan panggung wayang komuniti. Ikut sahaja peraturan kerajaan negeri jika ianya memberi kebaikan, sebagai contoh tempat duduk mengikut jantina atau sebagainya.
"Hendak seribu daya, apatah filem sering dikata alat yang mampu mendoktrinkan minda rakyat agar menjadi lebih kreatif dan baik. Kurangkan kontroversi atau analisa yang sia-sia," ujarnya.
Tegasnya lagi, Finas harus melakukan percubaan berbanding sesi perbincangan yang lebih bermotif viral berbanding penyelesaian.
"Sebagai badan yang bertanggungjawab dan didana dengan baik, apa salahnya terus lakukan percubaan berbanding sesi 'townhall' yang hanya mengharapkan hashtag lebih viral dari solusi. Bantu pembikin dengan ikhlas, jangan nafikan hak anak anak kelahiran Kelantan," jelasnya.
Kamil sebelum ini dilaporkan, pihaknya akan melantik dua jawatankuasa menapis filem membabitkan jawatankuasa pertama dianggotai pakar filem daripada Finas, Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).