FINAS impi filem Malaysia tercalon ke Oscar
Ridauddin Daud
Mei 27, 2020 18:36 MYT
Mei 27, 2020 18:36 MYT
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memasang impian untuk melihat filem tempatan diangkat ke peringkat antarabangsa termasuklah dicalonkan ke Anugerah Akademi atau Anugerah Oscar.
Pengerusi FINAS, Zakaria Abd Hamid berkata, meskipun tempoh dua tahun mungkin agak singkat buatnya dan pengurusan baharu namun beliau dan pasukannya optimis dengan sasaran tersebut.
“Dalam tempoh dua tahun yang diamanahkan menteri ini, kami yakin dan saya yakin, sebagai pemandunya kita akan meletakkan footing yang kukuh untuk kita sampai ke tahap antarabangsa.
“Impian kita, mimpi kita untuk sampai ke peringkat tertinggi iaitu Anugerah Oscar dan kalau dalam bidang muzik, mungkin Grammy.
“Kita kena ada sasaran. Sebab itu saya berkongsi impian ini bersama menteri dan menteri rasa yakin saya boleh deliver. Yang penting adalah kerjasama,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, menyedari ada pihak mempertikaikan pelantikannya mengetuai FINAS sedangkan tiada latar belakang industri seni, Zakaria berpendapat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mungkin melihat kualiti tersendiri yang ada padanya.
“Sebab itu, pasukan yang telah dilantik adalah merupakan pasukan yang mempunyai kepakaran yang akan bantu saya buat keputusan. Saya merupakan pemandu kepada pasukan ini.
“Saya akan pastikan kenderaan yang kita bawa itu tidak tergelincir atau tidak langgar orang lain. Dari segi kepakaran, saya akan dapatkan dari pasukan dalam pengurusan,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi FINAS, Datuk Norman Abdul Halim dan Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS yang juga Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Hassan Asbor Hassan Mutaat.
Zakaria turut mengumumkan senarai Ahli Perbadanan yang dilantik iaitu Datuk Profesor Dr Abdul Razak Mohaideen, Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Norhyati Ismail, Mohammad Diah Wahari, Siti Juriani Jalaluddin, Denes Kumar Ragupathy, Dr Rose Patsy Tibok, Ku Muhammad Haris Ku Sulong dan Lina Tan Suan Jeu.
Sebelum ini, filem Malaysia yang pernah hampir tersenarai termasuk, Puteri Gunung Ledang (2005) arahan Saw Teong Hin dan dibarisi pelakon Datin Seri Tiara Jacquelina dan M.Nasir dan Bunohan (2012) arahan Dain Said yang menampilkan pelakon utama, Zahiril Adzim dalam kategori Filem Asing Terbaik.
Filem animasi tempatan, Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal juga hampir melangkah ke pencalonan akhir anugerah berprestif itu dalam kategori Filem Animasi Rencana Terbaik pada tahun ini namun tewas kepada beberapa filem animasi lain seperti Toy Story 4, Klaus dan How To Train Your Dragon: The Hidden World.
#Datuk Seri Eizlan Yusof
#filem
#FINAS
#Hassan Asbor Hassan Mutaat
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Media
#menteri
#Menteri Komunikasi dan Multimedia
#Norman Abdul Halim
#Oscars
#Prof Dr Abdul Razak Mohaideen
#Saifuddin Abdullah
#Zakaria Abd Hamid