Finas dan Perkeso bakal tandatangani MoU April nanti - Fahmi

Astro Awani
Mac 22, 2024 22:38 MYT
Fahmi Fadzil memaklumkan, MoU tersebut akan ditandatangi pada April nanti dan melibatkan kira-kira 5,000 pekerja produksi. - Gambar fail/Astro AWANI
HULU KELANG: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memastikan aspek keselamatan sosial pekerja produksi terjamin.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, MoU tersebut akan ditandatangi pada April nanti dan melibatkan kira-kira 5,000 pekerja produksi.
Menurut Fahmi, aspek keselamatan sosial kepada pekerja belakang tabir syarikat-syarikat produksi kurang dibincangkan sebelum ini.
"Ini adalah langkah yang positif yang kita harap akan dapat membantu sekiranya apa-apa berlaku kepada pelakon dan krew.
"Setidak-tidaknya beberapa perkara asas dapat dibantu kepada para seniman," katanya selepas menyampaikan sumbangan sempena sambutan Hari Seniman 2024 di majlis berbuka puasa anjuran Finas.
Mengulas lanjut, Fahmi juga berharap aspek yang membela nasib pelakon dan pekerja belakang tabir dapat dimasukkan dalam perjanjian bersama syarikat-syarikat produksi.
"Kita harapkan pada tahun ini beberapa perkara termasuk bila pelakon dan krew menandatangani kontrak perjanjian bersama pihak produksi, ada beberapa aspek terbela dalam mereka menjalankan tugas," katanya lagi.
Pada majlis tersebut, Fahmi menyerahkan sumbangan kepada para penggiat industri seni tanah air merangkumi filem, televisyen, muzik, penulisan serta seni lukis.
Sumbangan merupakan hasil kerjasama daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (MAPIM), Yayasan FELDA, Yayasan Angkasawan Negara, Koperasi Al-Najah, Eco Marine Group Berhad dan AHB Holding Berhad.
#kementerian komunikasi #FINAS #perkeso #keselamatan sosial
;