Finas bakal perkenal modul baharu Skim Wajib Tayang
Bernama
Mei 27, 2019 05:00 MYT
Mei 27, 2019 05:00 MYT
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan memperkenalkan modul Skim Wajib Tayang yang baharu, selain menentukan satu garis panduan untuk industri filem tanah air.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata modul yang bertujuan mengatasi isu filem tidak laku sedang dilihat di peringkat pegawai undang-undang.
"Isu filem tidak laku ini terjadi kerana kita tidak ada garis panduan filem yang macam mana boleh masuk panggung. Di Hollywood, tak semua filem boleh masuk panggung, tetapi di Malaysia, semua filem boleh masuk panggung.
"Kami ada satu modul wajib tayang baharu, yang kami akan umum dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Sinergi Industri Finas bersama Media di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, ditanya cabaran menerajui Finas, Ahmad Idham yang memegang jawatan tersebut sejak 12 Mac lalu berkata penyelewengan kewangan merupakan cabaran terbesar yang terpaksa dihadapinya.
"Bila masuk dalam Finas, memang saya terkejut dengan pelbagai masalah yang timbul. Saya tertanya-tanya, apa dah jadi? Mana duit Finas pergi? Kes dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berlambak-lambak.
"Saya tak rasa saya boleh selesaikan semua masalah ini dalam waktu terdekat. Tetapi, saya yakin ia akan diselesaikan secara berperingkat," katanya yang menyerahkan kepada SPRM dalam menyelesaikan isu melibatkan penyelewengan Finas.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo meminta SPRM mempercepatkan siasatan kes dana Finas membabitkan RM25 juta.
-- BERNAMA
#Ahmad Idham Ahmad Nadzri
#dana Finas
#filem
#filem tidak laku
#FINAS
#garis panduan
#pegawai undang-undang
#Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
#Skim Wajib Tayang
#SPRM