Filem Upin dan Ipin Keris Siamang Tunggal angkat kisah rakyat
Asyraf Roslan, Eka Roslee
Januari 8, 2019 19:37 MYT
Januari 8, 2019 19:37 MYT
Setelah 10 tahun mencipta fenomena, Les Copaque yang terkenal dengan filem animasi 3 Dimensi (3D) Geng:Pengembaraan Bermula kini tampil dengan naskah terbaharu buat para peminat iaitu Upin dan Ipin Keris Siamang Tunggal.
Menurut penerbit filem tersebut, Burhanuddin Mohd Radzi, pihaknya cuba menampilkan kelainan dan mengetengahkan kisah-kisah rakyat menerusi filem itu.
“Jika filem antarabangsa boleh mengangkat kisah dongeng mereka, mengapa kita tidak boleh lakukannya untuk filem ini bagi memberi pendedahan pada generasi akan datang ,” katanya semasa sidang media Upin dan Ipin Keris Siamang Tunggal yang diadakan di Golden Screen Cinema Mid Valley pada selasa.
Tambah beliau, filem itu juga akan ditayangkan di Indonesia, Singapura dan Brunei selain cuba menembusi pasaran Asia lain seperti China, Taiwan dan Jepun.
Filem yang menelan belanja hampir RM20 Juta itu telah mengambil masa lima tahun untuk disiapkan selain
menggunakan kepakaran anak-anak tempatan.
Upin dan Ipin Keris Siamang Tunggal ini mengisahkan pengembaraan Upin dan Ipin bersama rakan-rakan ke sebuah kerajaan dongeng bernama “Inderaloka”. Semasa pengembaraan ini mereka akan berjumpa dengan pelbagai watak dogeng seperti Bawang Merah Bawang Putih, Mat Jenin, dan Pak Belalang.
Filem ini akan ditayangkan di Golden Screen Cinema seluruh Malaysia pada 21 Mac 2019.