"Filem terakhirnya.." - BCL terharu filem lakonan Ashraf bakal ditayangkan tidak lama lagi
Afiq Ariffin
Mei 29, 2021 12:45 MYT
Mei 29, 2021 12:45 MYT
PENYANYI dan pelakon ternama Indonesia, Bunga Citra Lestari meluahkan rasa bangga dan terharu melihat trailer filem terakhir yang dibintangi suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair, berjudul J2: J Retribusi.
Perkara itu dikongsi Bunga atau lebih mesra disapa BCL menerusi hantaran di Instagramnya.
"His last movie... Im proud of you sayang," tulis BCL dengan turut disertakan emoji hati.
Di dalam filem tersebut, Ashraf tampil melakonkan watak antagonis, iaitu Taufiq.
Selain daripada itu, BCL turut memuji usaha keras dan pencapaian suaminya dengan memperincikan sedikit watak yang dilakonkan Ashraf
"'MERCILESS' itulah gambaran watak antagonis yang dilakonkan oleh Allahyarham Ashraf Sinclair yang membuatkan anda tidak senang duduk ketika menontonnya!" ujar BCL.
Di ruangan komen, rata-rata pengikut BCL menyatakan rasa tidak sabar untuk menonton filem terakhir Ashraf yang meninggal dunia pada 18 Februari 2020, dipercayai akibat serangan jantung sewaktu berada di kediamannya.
Hantaran artis yang juga ibu tunggal kepada Noah Sinclair itu sudah ditonton oleh lebih 1.4 juta orang sejak dimuat naik sekitar 16 jam lalu.
J2: J Retribusi merupakan sebuah filem sekuel blockbuster yang dinanti-nantikan selepas J Revolusi.
Ia diarahkan oleh Nazrul Asraff Mahzan dan Nazim Shah dan akan dilancarkan secara eksklusif menerusi platform penstriman Disney+ Hotstar pada 1 Jun ini.
Selain Ashraf, antara pelakon yang akan membintangi filem ini adalah Zul Ariffin, Amelia Henderson, Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim dan ramai lagi.
#Bunga Citra Lestari
#BCL
#filem
#J2 J Retribusi
#lakonan
#movie
#Disney
#Zul Ariffin
#Disney Hotstar
#Ashraf Sinclair