Filem Sangkar, M For Malaysia dan BoBoiBoy Movie 2 dominasi Carta Top 10 Pilihan Penonton!
Gempak
September 12, 2019 16:00 MYT
September 12, 2019 16:00 MYT
Filem terbaru arahan Kabir Bhatia iaitu Sangkar kini berada di tempat ketiga dalam carta Top 10 movies @ GSC.
Selain itu, filem BoBoiBoy Movie 2 berada di tangga ke-6 dan paling membanggakan, dokumentari M for Malaysia berada kedudukan ke-7 biarpun ia baru mula ditayangkan hari ini!
Kedudukan dalam carta itu membuktikan tiga filem tersebut amat digemari ramai meskipun diasak dengan kehadiran filem antarabangsa seperti The Angry Birds Movie 2, Angel Has Fallen dan The Bravest.
Sedikit info mengenai Sangkar, filem ini menonjolkan keistimewaan dengan mengetengahkan sukan seni bela diri campuran (MMA) buat pertama kalinya dalam sejarah pembikinan filem di Malaysia.
Selain itu, Sangkar juga memaparkan pelbagai elemen lain seperti kekeluargaan, persahabatan, agama dan banyak lagi yang dapat dijadikan teladan oleh penonton.
Filem kegemaran ramai itu dibintangi oleh Remy Ishak, Zul Ariffin, Mira Filzah, Ray Era, Nik Adam Mika dan ramai lagi.
Sangkar juga mencatat rekod dalam industri perfileman tanah air kerana diterbitkan oleh empat syarikat perfileman tempatan iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Sangkar yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara, Brunei dan Singapura!
Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, 'M for Malaysia' akan ditayangkan secara eksklusif bermula hari ini, 12 sehingga 15 September di pawagam terpilih seluruh Malaysia.
'M for Malaysia' merupakan sebuah dokumentari yang menceritakan mengenai titik tolak yang mengubah negara kita dan ia menampilkan dokumentasi mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang menyaksikan rakyat Malaysia memilih untuk tidak lagi bersama kerajaan yang telah memerintah selama 61 tahun.
Diarahkan oleh Dian Lee dan Ineza Roussille, dokumentari yang menampilkan Datin Paduka Marina Mahathir sebagai Penerbit Eksekutif dan pemenang Oscar, Ruby Yang selaku Penerbit Kreatif ini mengisahkan mengenai perjuangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam misi untuk menewaskan kerajaan yang memerintah Malaysia semenjak kemerdekaan selama 61 tahun.
Sebelum ini, 'M for Malaysia' pernah ditayangkan di CAAM Festival 2019 di San Francisco dan DocEdge Film Festival 2019 di New Zealand serta akan ditayangkan di Busan International Film Festival (BIFF) yang berlangsung pada Oktober ini.
Jangan lupa untuk saksikan dokumentari 'M for Malaysia' yang ditayangkan secara eksklusif bermula 12 sehingga 15 September di pawagam terpilih seluruh Malaysia.
Klik di SINI untuk menyemak senarai pawagam yang menayangkan 'M for Malaysia'.
Untuk lebih informasi, layari laman web rasmi 'M for Malaysia' di https://www.mformalaysia.com/.
#Astro
#Hari Malaysia
#M for Malaysia
#Mahathir Mohamad
#Malaysian Medical Association
#Mixed Martial Arts
#MMA
#sangkar