Filem 'Rise: Ini Kalilah' sempena Hari Malaysia
Syafique Shuib
Ogos 2, 2018 07:46 MYT
Ogos 2, 2018 07:46 MYT
Sebuah filem bertemakan perpaduan dan berinspirasikan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) bakal ditayangkan sempena Hari Malaysia pada September.
'Rise: Ini Kalilah' merupakan filem cereka berdurasi 100 minit yang mendapat inspirasi dari semua kelompok rakyat Malaysia.
“Cerita ini mengikut kisah enam watak dari latar belakang dan bangsa yang berbeza, contohnya ada seorang anggota polis, seorang ahli perniagaan, seorang pelajar di London, seorang guru dan sebagainya,“ kata pengarah Saw Teong Hin ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.
Selain beliau, filem ini turut diarahkan Nik Amir Mustapha dan MS Prem Nath.
Antara cabaran utama bagi pengarah, pelakon dan kru produksi adalah tempoh masa singkat yang diberikan kerana filem ini harus dilancarkan menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September.
"Semua orang seperti hendak pengsan, tetapi kami teruskan dengan projek ini. Kami betul-betul ingin menghasilkan filem ini dan meraikan detik bersejarah ini,” kata Saw.
Filem ini menampilkan enam pelakon utama iaitu Remy Ishak, Mira Filzah, Sangeeta Krishnasamy, Jack Tan, Shashi Tharan dan Jenn Chia.
Sementara itu, Remy Ishak berkata beliau melakonkan watak Azman, seorang anggota polis.
Watak ini berhadapan dengan konflik apabila bertemu dengan rakan sekerja yang melakukan perkara yang tidak sepatutnya seperti menyalahgunakan kuasa.
“Apa yang saya belajar daripada watak ini ialah, Azman ada prinsip dalam hidup. Kita perlu pegang kepada kejujuran, amanah dan keikhlasan, yang semakin lama hilang,” kata Remy.
Mira Filzah melakonkan watak seorang gadis yang menetap di London dan tidak peduli mengenai kepentingan mengundi pada pilihan raya.
“Mesej watak ini adalah memberi kesedaran tentang betapa pentingnya untuk mengundi kerana proses ini akan menentukan kerajaan dan siapa pemimpin kita.
“Tetapi untuk pilihan raya tahun ini, saya memang nampak generasi baru bersungguh-sungguh melibatkan diri dalam pilihan raya.
"Kita pun ada ramai pemimpin muda dan ramai lagi anak-anak muda yang ingin melibatkan diri dalam politik,” kata Mira.
Penggambaran filem 'Rise: Ini Kalilah' dijalankan di Malaysia, Singapura dan United Kingdom.
Ia kini memasuki fasa pasca produksi dan dijangka ditayangkan bermula 13 September.
#generasi baru
#Hari Malaysia
#Mira Filzah
#pemimpin
#pengundi
#pilihan raya umum
#PRU14
#Remy Ishak
#Rise Ini Kalilah
#Saw Teong Hin