Filem pendek 'Pejam Pelik' dan prospek kebebasan berkarya

Daily Seni
Mei 15, 2015 07:12 MYT
Filem Pendek Pejam Pelik Dan Prospek Kebebasan Berkarya
Ruang pasaran arus perdana di negara kita jelas benar senantiasa menghasilkan filem yang diberi dana yang besar, tetapi realitinya kualiti pada kebanyakan filem yang ada sudah mencapai tahap lambakan – masih tidak mampu menarik minat kelompok yang mengidamkan filem yang benar-benar mempunyai isi yang bernas.
Sedikit Perspektif… (Tentang Filem Sekarang)
Secara jelas filem yang diidamkan mampu menghasilkan tanggapan bahawa idea disebalik penghasilan filem-filem ini telahpun berjaya menjalani suatu proses pemikiran yang panjang dan mendalam, secara tidak langsung berjaya memberi nilai yang baru ataupun permaknaan kepada para penonton.
Suatu proses dua hala yang mampu mengubah persepsi masyarakat, mencetuskan persoalan-persoalan yang baru dan tidak hanya diciptakan sekadar untuk menghiburkan tanpa ada isi-isi yang berbaloi.
Jadi filem-filem arus perdana yang bakal dihasilkan mempunyai beban ataupun komitmen yang secara tidak sedar mengongkong kreativiti ataupun kebebasan berkarya itu sendiri.
Kerana apa?
Mungkin sahaja kerana permintaan filem-filem serius tidak mempunyai sambutan ataupun komitmen, di mana mendapatkan semula untung adalah keutamaan yang ditekankan oleh para pihak yang terbabit, bukannya kualiti dan ideal-ideal yang berkibar disebalik setiap karya.
Pembikin Juga Perlu Menyemak & Mengimbangi
Para pembikin filem harus bertolak-ansur dengan permintaan para penonton dan tidak melihat mereka sebagai penerima yang pasif. Jadi bagi para pembikin filem yang masih ingin mengekalkan, ataupun mengimbangi integriti mereka bagi menghasilkan karya yang bermutu, mereka akan mulailah beralih kepada filem-filem pendek.
Filem-filem pendek yang terhasil pun kebanyakkannya berdiri utuh di atas premis kebebasan para pengkarya. Mereka mempunyai ruang yang cukup untuk menyalurkan ide-ide mereka: bagaimana skrip dan gambaran yang diinginkan oleh mereka, tanpa ada batasan mahupun kongkongan dari mana-mana pihak.
Iya batas itu tetap saja ada, tetapi yang diberikan keutamaan adalah konsep keunikan itu sendiri.
Filem-filem seperti ini selalunya terhasil oleh dorongan semulajadi para pengkarya untuk bereksperimen dengan medium utama mereka. Secara tidak langsung ianya juga membuka ruang dan pilihan-pilihan alternatif bagi para penonton untuk menjamah karya yang lain daripada apa yang terhidang di pawagam tempatan.
Phuture Robot Productions melalui filem pendeknya Pejam Pelik berjaya membuktikan kepada kita bahawa kreativiti yang terhasil berjaya diberi pengiktirafan di beberapa festival filem di luar negara. Melalui Pejam Pelik mereka telah memenangi dua anugerah di dua festival filem yang berlainan. Mereka turut memenangi anugerah Royal Merit Award di Festival Filem Antarabangsa Kanada dan juga Award of Merit di dalam pertandingan Filem-Filem Pendek Terbaik yang berlangsung di San Diego, Amerika.
Kami di The Daily Seni berkesempatan untuk menanyakan beberapa soalan kepada saudara Khairul Azri ataupun Kerol, pengarah filem Pejam Pelik, mengenai pencapaian syarikat produksi beliau serta ide-ide disebalik pembikinan filem pendek tersebut.
Setelah filem pendek kalian diakui oleh panel-panel di Kanada dan San Diego, apakah prospek yang dapat dilihat bagi pembikin filem pendek di Malaysia?
“Berdasarkan pengalaman saya, ianya agak mudah bagi filem-filem pendek untuk menembus festival filem antarabangsa. Terdapat pelbagai festival filem di seluruh dunia yang turut membuka ruang kepada semua genre yang ada. Saya mensyorkan para pembikin filem di sini untuk mencuba dan menghantar filem-filem pendek mereka ke semua festival filem yang ada.”
Ceritakan sedikit sebanyak mengenai proses membikin Pejam Pelik.
“Pejam Pelik terhasil kerana kami mengambil bahagian di dalam program BMW Shorties. Saya sudah pun mempunyai idea mengenainya dan terus menghasilkan skrip untuk filem tersebut. Skrip ini merupakan skrip yang sepenuhnya ditulis oleh saya. Setelah beberapa revisi dilakukan, dan Pejam Pelik memulakan proses pra produksinya. Kami mengambil masa kurang daripada tujuh hari untuk bersedia memulakan penggambaran, daripada pencarian tempat, mencari pelakon dan kesemua pemprosesan pra produksi.
Kami berasa bertuah berada di dalam kumpulan atau pasukan yang bagus, pelakon yang bagus dan juga lokasi yang sesuai untuk filem pendek tersebut. Ia juga merupakan satu proses yang menarik kerana kami berpeluang untuk berkerja dengan anak-anak kecil yang mendokong karakter utama di dalam filem, dibandingkan dengan projek-projek sebelumnya, di mana selalunya kami berkerja dengan aktor dewasa.
Anak-anak ini mengajar kami erti kesabaran dan kami berasa lebih puas bekerja dan gembira (dengan hasilnya). Kesemua proses Pejam Pelik mengambil masa 13 hari.”
Ada projek yang sedang atau bakal dibikin?
“Filem pertama saya, Pekak, pada waktu ini sedang berada di dalam proses pasca-produksi dan insyaAllah ianya bakal ditayangkan di Malaysia pada tahun 2016. Pekak diterbitkan oleh Lightbulb Pictures, sebuah anak syarikat Grand Brilliance.
Selain itu saya masih di dalam proses pengemukaan ide untuk filem seterusnya dan juga beberapa filem pendek yang lain.”
Wujudkah keinginan saudara untuk menghantar karya yang ada ke festival-festival filem secara spesifik?
“Sudah tentunya ia merupakan sesuatu yang bagus jika kami mendapat pengiktirafan daripada festival seperti Cannes ataupun Sundance. Festival (Filem Antarabangsa) Busan juga turut menjadi pilihan di (dalam konteks) Asia.”
Secara peribadi buat pihak kalian, apakah keunikan Pejam Celik jika ingin dibandingkan dengan filem pendek yang turut dipilih sebagai pencalonan festival filem di Kanada dan San Diego?
“Pada pendapat saya, Pejam Pelik merupakan jalan cerita yang jujur kerana naratifnya menurut perspektif anak kecil. Kenaifan karakter di dalam filem itu yang membuatkan ianya istimewa dan berjaya mencetuskan suatu perasaan yang tenang sewaktu menontonnya.
Saya pasti para penonton yang lain mampu dengan jalan cerita ini. Saya pasti kebanyakkan daripada kita punya satu masa sewaktu kita kecil dimana kita semua mempercayai kekuasaan magis itu sendiri.”
Apakah harapan kalian untuk sinema Malaysia?
“Kami berharap sinema Malaysia bakal berkembang ke suatu keadaan yang lebih bagus. Dengan bakat yang lebih elok, sokongan yang lebih utuh, cerita yang lebih bagus, dan segala-galanya ke arah yang lebih bagus. Bagus juga jika kita mempunyai lebih banyak ruang ataupun tempat di mana para pembikin filem dapat menghasilkan filem-filem mereka.
Kami kenal banyak pembikin filem yang mempunyai idea yang bagus tetapi tidak dapat menghasilkannya kerana kekurangan dana. Iya, kami sedar kongkongan itu sendiri mampu memaksa kita untuk menjadi lebih kreatif, tetapi cuba bayangkan tingkat kualiti yang mampu dicapai oleh para pembikin filem yang kreatif jika mereka mendapat peruntukan yang sesuai untuk karya mereka.
Kami juga berharap agar orang ramai lebih terbuka untuk menerima pelbagai jenis genre dan jalan cerita serta pendekatan membikin filem yang baru dan berlainan, dan memberi sokongan yang diperlukan oleh para pembikin filem. Kalau bukan kita yang sokong siapa lagi kan?”
#filem #Pejam Pelik #pendek
;