Filem Ola Bola raih lebih RM12 juta dalam tempoh 18 hari!
Kohilah Sekaran
Februari 15, 2016 17:27 MYT
Februari 15, 2016 17:27 MYT
Filem "OlaBola" terbitan Astro Shaw yang mula ditayangkan 28 Januari lalu masih meneruskan kejayaannya dengan mencatat kutipan melebihi 12 juta dalam tempoh 18 hari.
Dalam satu kenyataan media yang diedarkan hari ini, walaupun sudah memasuki minggu ketiga tayangan di pawagam, jumlah penonton masih belum berkurangan, malah masih kukuh di pawagam apabila jualan tiket sentiasa ‘sold out’ dengan segera.
Selain itu, filem OlaBola juga masih mengungguli carta top 10 Golden Screen Cinema (GSC) semenjak filem ini ditayangkan.
Pengumuman terbaru ini menjadikan filem Ola Bola masuk dalam senarai tiga filem Malaysia terlaris sepanjang zaman. Tiga filem itu adalah Polis Evo yang meraih RM17.4j, The Journey (RM17.1j) dan yang terbaru Ola Bola (RM12j).
Ketiga-tiga filem tersebut kesemuanya adalah terbitan Astro Shaw.
Sebelum ini, Astro Shaw berkata media sosial telah memainkan peranan yang penting dengan memberi impak yang besar kepada penonton apabila pengguna memperkatakan mengenai filem ini.
Malah, rangka promosi yang masih giat berjalan juga menjadi dorongan untuk penonton masih berminat untuk menonton filem tersebut.
Berlatarbelakangkan era 1980-an, "Ola Bola" merupakan kisah kejayaan tentang keberanian dan semangat bersatu yang memberi inspirasi kepada barisan pemain bola sepak Malaysia untuk bangkit dari kekecewaan dan muncul menjadi wira negara.
Filem yang diarahkan oleh pengarah hebat Chiu Keng Guan ini merupakan satu perjalanan inspirasi yang dijangka akan menambat hati para penonton Malaysia.