Filem Malaysia harus sampai ke tempat baru, kata U-Wei
Astro Awani
November 8, 2014 08:22 MYT
November 8, 2014 08:22 MYT
Filem yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama, Hanyut akhirnya menjengah panggung di negara seberang Indonesia terlebih dahulu.
Menelan belanja lebih RM18 juta, filem itu beberapa kali dijadualkan ditayangkan di panggung tempatan namun ditangguhkan.
Sinematografi Hanyut yang menyakinkan dan adaptasi dari novel pertama Joseph Conrad berjudul "Almayer's Folly" itu menerima banyak pujian dan pengiktirafan antarabangsa,
Pengarah filemnya, U-Wei Haji Saari yang menjadi tamu dalam Agenda AWANI pada Jumaat berkata, konflik dalam Hanyut yang sarat dengan mesej berat, sukar diterima oleh sinema tempatan.
"Saya tengok sebagai sinema filem Malaysia, mereka takut pada Hanyut. Saya rasa elok ia hanyut. Filem Malaysia harus sampai pada tempat baru, kerana apabila ia sesat, dan patah balik. Apabila ia patah balik, kemungkinan ia akan buat kesilapan yang sama”, ujar U-Wei dalam nada penuh simbolik.
Tambah U-Wei, namun naskah Hanyut perlu dihormati dan dikeluarkan dengan cara bagus dan ia menjadi persoalan dalam sinema filem Malaysia di mana kerajaan telah memberi masa dan sokongan melahirkan untuk pembikin filem terbaik.
Sementara itu, pelakon Adi Putra berkata perwatakannya dalam Hanyut membawa pendirian dan prinsip sebenar.
"Kalau saya dah rasa puas, matilah saya. Ibaratnya macam itu. Sebenarnya ia ada kesinambungan sebagai pemain dan mungkin menjadi tanya kepada peminat dan masyarakat di luar sana." tambah Adi Putra yang pertama kali diambil membintangi filem arahan U-Wei.
Hanyut dibintang barisan pelakon hebat Sofia Jane, Diana Danielle, Alex Komang, Khalid Salleh dan ramai lagi memulakan penggambaran sekitar tahun 2010 dan siap sepenuhnya 2012.
Hanyut bercerita tentang Almayer, pedagang Belanda yang berjuang untuk hidup di Malaya pada akhir abad ke-19.
Impiannya mencari mitos gunung emas ditentang isterinya, Mem, para penguasa dan politik pimpinan tempatan serta pedagang Arab dan digawatkan lagi dengan percintaan anak perempuannya dengan seorang putera Melayu yang menuntut kebebasan.