Filem Joko Anwar 'A Copy Of My Mind' ditayangkan di Filem Festival Venice
Azyyati Ahmad
Julai 31, 2015 15:55 MYT
Julai 31, 2015 15:55 MYT
Filem terbaru karya sutradara Indonesia, Joko Anwar yang bertajuk ‘A Copy Of My Mind’ terpilih untuk tayangan di Festival Filem Venice sekaligus merupakan tayangan perdana buat filem tersebut.
Festival filem tertua di dunia itu dijadualkan berlangsung pada 2 September sehingga 12 September ini.
A Copy Of My Mind merupakan sebahagian dari trilogi Joko yang berjudul Jakarta: A Copy of My Heart, A Copy of My Mind dan A Copy of My Soul.
Diterbitkan Lo-Fi Films, filem bergenre drama yang dibintangi oleh Chicco Jerikho dan Tara Basro ini masih belum ditayangkan di Indonesia.
Joko yang terkenal dengan filem arahannya seperti Janji Joni dan Modus Anomali di dalam twitnya baru-baru ini berkata, filem terbarunya itu bakal ditayangkan kepada umum tahun hadapan.
Filem ini berkisarkan sepasang kekasih (Chicco dan Tara) yang menjalani kehidupan biasa sehingga tiba-tiba terseret ke lembah politik apabila mereka menjumpai DVD berisi rakaman tindakan korupsi yang melibatkan seorang calon presiden.