Filem Gold karya penyatuan rakyat Malaysia - Farid Kamil

Farhan Hakimi
Julai 13, 2024 13:55 MYT
Filem Gold yang diarahkan pengarah terkemuka tanah air, Adrian Teh terbitan Astro Shaw dan Act 2 Pictures dengan kerjasama Clover Films & One Cool Entertainment mula ditayangkan di pawagam pada 11 Julai di seluruh Malaysia.
KUALA LUMPUR: Filem Gold memaparkan contoh yang boleh diteladani penonton dalam konteks penyatuan bangsa di Malaysia.
Menurut pelakon Farid Kamil, ini kerana filem yang mengisahkan liku-liku dan perjalanan hidup jaguh badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou, memperlihatkan bagaimana kerjasama antara beliau dan legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek dapat terjalin.
Beliau yang memegang watak sebagai pemain dan jurulatih itu juga berkata, penonton boleh mengambil iktibar berdasarkan cabaran yang ditempuh Liek Hou yang menghidap penyakit saraf dikenali sebagai Erb's Palsy untuk mengecap kejayaan.
"Dia (Liek Hou) Cina, dia ni (Rashid) Melayu... macam mana mereka ni nak bekerjasama?
"Itu yang menjadi isu ataupun topik yang diangkat oleh pengarah sendiri.
"Jadi rakyat Malaysia perlu tahu dan faham elemen ini dalam kisah di sebalik perjalanan Liek Hou," ujarnya.
Farid turut berkongsi cabaran beliau memegang watak tersebut sehingga terpaksa menurunkan berat badan sebanyak 20 kg.
Antara lain, beliau turut memukul 2,000 bulu tangkis dalam sehari demi menjayakan watak seorang atlet dan jurulatih legenda negara itu.
Meskipun hampir 30 tahun tidak memegang raket badminton, watak tersebut membuatkan beliau kembali aktif bermain badminton walaupun sesi penggambaran sudah berakhir setahun lalu.
"Cabaran terbesar saya kena lakukan termasuklah perlu menurunkan berat badan daripada 87 sehingga 60 kg.
"Saya juga terpaksa mengabdikan diri selama tiga jam dalam sehari di gelanggang badminton.
"Selain itu, ialah cabaran 'meniru' gaya 'jumping smash' Rashid Sidek dalam Sukan Olimpik Musim Panas 1996 di Atlanta yang menyaksikan beliau menjadi pemain perseorangan pertama Malaysia untuk memenangi pingat," kata Farid Kamil dalam satu temu bual ekslusif AWANI Pagi berkenaan filem Gold pada Sabtu.
Filem Gold yang diarahkan pengarah terkemuka tanah air, Adrian Teh terbitan Astro Shaw dan Act 2 Pictures dengan kerjasama Clover Films & One Cool Entertainment mula ditayangkan di pawagam pada 11 Julai di seluruh Malaysia.
Selain Farid Kamil, filem Gold turut menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Wan Raja dan Yasmin Hani selain penampilan muka baharu antaranya Jack Tan dan Lynn Lim sebagai teraju utama.
#Gold #Farid Kamil #filem Malaysia #penyatuan bangsa