Filem 'The Flash' kumpul AS$55 juta dalam tiga hari pertama tayangan
Astro Awani
Jun 19, 2023 08:00 MYT
Jun 19, 2023 08:00 MYT
FILEM superhero DC dan Warner Bros 'The Flash' mencapai kutipan AS$55 juta dalam tiga hari tayangan pertama di pawagam Amerika Utara.
Walaupun pencapaian itu merupakan lonjakan besar berbanding filem keluaran terakhir DC, iaitu 'Shazam!', namun ia masih dianggap rendah mengikut standard filem adiwira di mana tayangan pertama kebiasaannya mencecah AS$100 juta.
Selain 'The Flash' terdapat filem Pixar baharu iaitu elemental dan komedi seram 'The Blackening' yang turut bersaing dalam tayangan kali ini.
'The Flash' menghadapi lebih banyak komplikasi daripada keadaan pasaran.
Ia sering menjadi tajuk utama sepanjang tahun lalu, bukan kerana filem itu sendiri tetapi kerana masalah luar skrin berkait bintang utamanya Ezra Miller termasuk penangkapan, tingkah laku tidak menentu dan tuduhan salah laku.
Miller telah meminta maaf dan sedang mendapatkan rawatan kesihatan mental.
Dia juga tidak mahu mengambil bahagian dalam litar publisiti biasa, kecuali tayangan perdana.
Sementara itu, filem kedua tertinggi, 'Elemental' dilaporkan mencapai AS$29.5 juta daripada 4,035 lokasi di Amerika Utara, yang merupakan tahap terendah baharu untuk pembukaan filem Pixar selama tiga hari.